Filem Terminator Genisys Lebih Suspens & Aksi

MERUPAKAN antara filem sains fiksyen terbaik di Hollywood, maka tidak hairanlah Terminator kini sudah memasuki sekuel kelima.

 

Bermula dengan The Terminator (1984) yang menampilkan Arnold Schwarzenegger sebagai cyborg menyerupai manusia dan diprogramkan untuk membunuh wanita bernama Sarah Connor, filem ini terus mencetuskan fenomena tersendiri dengan terhasilnya sekuelsekuel seperti Terminator 2: Judgment Day (1991), Terminator 3: Rise of The Machines (2003), Terminator Salvation (2009) dan terbaharu Terminator Genisys (2015).

 

Bagi pengikut filem ini, pastinya sudah faham dengan konsep dan jalan cerita Terminator, sekaligus memudahkan mereka untuk ‘menghadam’ setiap sekuel yang dihasilkan.

 

Mendapat sentuhan daripada pengarah berbeza, filem francais ciptaan penerbit dan pengarah tersohor, James Cameron ini mengangkat kisah perisian mesin yang dikenali sebagai Skynet yang mahu menguasai dunia dengan menghapuskan populasi manusia.

 

Naratif ceritanya lebih tertumpu kepada watak Sarah Connor yang berjuang untuk terus hidup setelah diburu Cyborg. Ini kerana Sarah merupakan ibu kepada John Connor, ketua pemberontak yang diramalkan akan menghapuskan Skynet.

 

Bertitik tolak dari itu, bermulalah perjuangan Sarah untuk memastikan anaknya terus hidup dan situasi ini dapat dilihat menerusi Terminator 2, yang mana peranan Schwarzenegger juga berubah menjadi protagonis dengan misinya menyelamatkan dua beranak ini.

 

Misi yang sama juga diteruskan menerusi sekuel ketiga, yang mana John Connor berjuang untuk terus hidup.Namun kali ini tanpa ibunya.

 

Bagaimanapun konsep Terminator dilihat berubah 360 darjah menerusi Terminator Salvation (2009) yang mana naratif penceritaan lebih kepada perang manusia dan mesin secara besar-besaran.

 

Tanpa kehadiran Schwarzenegger, siapa sangka filem francais ini mampu mengaut keuntungan lebih besar berbanding filem terdahulu dengan rekod kutipan tersendiri.

 

Bagaimanapun originaliti filem itu tetap menjadi pertikaian terhadap segelintir pengikut Terminator.

 

Mengambil kira aspek tersebut, mungkin kerana itulah ia kembali dihidupkan menerusi sekuel terbaharu, Terminator Genisys.

 

Watak lama kembali Menonton sekuel ini pastinya mengingatkan kita terhadap dua sekuel pertama Terminator dahulu.

 

Watak Sarah Connor dan pasangannya, Kyle Reese, dihidupkan kembali namun, kali ini dalam versi remaja yang mana kisahnya saling berkaitan dengan dua sekuel tersebut.

 

Menjadi trademark utama Terminator, maka tidak hairanlah Schwarzenegger kembali dipanggil beraksi untuk filem ini. Seperti mana misinya terdahulu, Cyborg T-800 tetap melindungi Sarah Connor dari kejahatan Skynet yang kini dipanggil Genisys.

 

Turut menampilkan muka baharu seperti Jason Clarke, Emilia Clarke, Jai Courtney, Lee Byung-hun and J. K. Simmons, sekuel ini tetap memberikan kelainan buat pengikut Terminator.

 

Terminator Genisys bermula dengan kisah Kyle Reese (Jai Courtney), orang kanan John Connor yang dihantar ke masa silamnya untuk menyelamatkan Sarah Conor (Emilia Clarke).

 

Kehadirannya memang dinantikan Sarah dan bermulalah misi mereka untuk menghapuskan Skynet menerusi pengembaraan masa.

 

Pengembaraan itu turut menyaksikan pertemuan mereka dengan John Connor, tapi dengan identiti yang berbeza.

 

Dapatkah mereka bersatu dan apakah mereka mampu menghapuskan Skynet atau Genisys?

 

Kisahnya mungkin agak rumit dan banyak persoalan bagi anda yang tidak mengikuti filem francais ini.

 

Namun, tidak bagi pengikut setia Terminator yang sudah lama menanti-nantikan filem sains fiksyen yang cukup hebat ini.

 

Menepati genrenya, filem yang menelan kos ASD8.4 juta ini sarat dengan unsur suspens dan aksi.

 

Dari permulaan cerita lagi, penonton sudah dihidangkan dengan babak seumpama ini sehinggalah ke akhir cerita. Malah, ada di antaranya meninggalkan kesan yang cukup mengagumkan.

 

Antaranya babak pertarungan di jalan raya, yang mana Sarah dan Kyle terperangkap hampir terjunam ke dalam laut dan babak melibatkan helikopter.

 

Babak seumpama ini dilakukan sangat teliti dengan teknologi komputer yang hampir sempurna dan mampu memberikan kepuasan kepada penonton.

 

Bukan hanya aksi semata-mata, filem ini turut bermain dengan emosi apabila watak Sarah dan Cyborg (Schwarzenegger) digambarkan sangat rapat, sehingga Sarah memanggilnya ‘Pops’ (ayah).

 

Di sini mungkin terdapat sedikit persoalan yang timbul apabila anda cuba kaitkan dengan versi pertama dahulu. Bagaimanapun ia bukanlah satu masalah besar untuk difikirkan.

 

Di sebalik aksi-aksi yang mendebarkan, pengarahnya tidak lupa memasukan elemen komedi, sekali gus menjadi rencah yang cukup rasa buat filem yang dinanti-nantikan ini.

 

Beralih mengenai lakonan, kredibiliti Schwarzenegger di layar perak tidak perlu dipertikaikan lagi, Meskipun usianya mencecah 66 tahun, namun lakonannya masih mantap.

 

“Sudah tua, tetapi bukan ketinggalan zaman,” itu tagline yang cukup meninggalkan kesan menerusi lakonannya sebagai Cyborg kali ini.

 

Tidak kurang hebatnya juga dengan pelakon baharu yang terlibat. Masing-masing punya karakter tersendiri bagi menjayakan watak yang didukungi. – SInar

ep2p-5small