Emak Tolak Farid Kerana Pilih Kasih

DCCK  10  MEI 2015   —

`APA yang ingin saya sampaikan minggu ini umpama `ditelan mati emak diluahkan mati bapak.’ Serba salah, cakap salah, tak cakap pun salah. Kalau saya cuba ceritakan apa yang sebenarnya kepada emak, beliau pasti mempunyai anggapan lain, memburukkan lagi kehidupan saya, sementelahlah saya suami isteri tak macam abang dan kakak saya yang bertuah, orang berduit kerana pasangan masing-masing daripada keluarga ada-ada.  Tak macam saya, banyak yang tak-tak ada.

“Saya ada 6 orang adik-beradik, 3 lelaki dan 3 perempuan termasuk saya. Kami bukan dari kalangan orang berada kerana kedudukan ayah dan emak bukan orang terpelajar, cuma orang biasa-biasa sahaja, tetapi mereka merwarisi harta peninggalan keluarga terutama dari sebelah pihak ayah,’’ cerita NorIman Hanan dalam SMS pendek dan ketika kami berbual baru-baru ini.

“Arwah ayah ada harta dari keluarganya nun di utara, tetapi sayangnya ada beberapa keping tanah keluarga sebelah ibu ayah masih belum diselesaikan, belum tukar nama pemilik, masih nama datok dan nenek ayah lagi. Tetapi sebelah ayahnya ada yang sudah ditukar kepada nama nenek dan ayah memiliki sekeping dua tanah nenek.

“Kata ayah nasib baik abangnya jualkan tanah arwah ayahnya di utara, maka dapatlah ayah beli sebuah rumah berhampiran KL. Di sinilah kami berpindah, sebelumnya ketika ayah bekerja dengan kerajaan kami tinggal menyewa.

“Sebelum ayah meninggal dunia kami adik-beradik sudah ayah beritahu dia ada 2 buah rumah, sebuah kami tinggal dan sebuah lagi disewakan, hasil duit sewa itulah ayah guna untuk tampung kehidupan kami sekeluarga selain duit pencennya.

“Nak jadikan cerita abang sulong ayah yang berkuasa atas tanah datok beritahu ayah (ketika itu ayah masih ada lagi) tanah tersebut telah diambil oleh kerajaan, dan pampasan sudah pun diberikan. Kerana adik beradik ayah tak ramai cuma 4 orang (dua masih hidup ketika itu) maka hasilnya diberi mengikut faraid. Termasuk kepada waris anak-anak saudaranya.

“Kerana ketika itu ayah masih bekerja dan harga rumah masih murah, ayah beli sebuah lagi rumah, tetapi kerana ayah sudah berumur maka rumah itu diletakkan bersama nama abang kami. Dengan tujuan buat pinjaman bank. Tetapi setahu kami ayah yang bayar setiap bulan, sebab dari awal abang tak sukakan rumah tersebut kerana dia ada rumah lebih besar.

“Nak guna nama kakak suaminya tak izinkan, sementara kami yang lain masih belajar dan kalau bekerja pun gaji tak sebanyak mana. Lagi pun pada awal tahun 90an dengar harga rumah hampir seratus ribu ringgit memang menyeramkan jugak.
“Di pendekkan cerita bila ayah meninggal dunia, emak teruskan bayar rumah tersebut hasil duit sewa rumah tersebut. Memang tak ada masalah. Tetapi selepas 6 tahun ayah meninggal dunia dan ansuran rumah selesai. Emak nak berikan rumah tersebut pada abang. Di sini timbul masalah. Bila saya dengar berita itu, saya beritahu emak tak boleh buat keputusan ini tanpa berbincang dengan anak-anak lain. Rupanya nasihat ikhlas saya disalah ertikan, sebaliknya emak tuduh saya gila harta, mulalah tuduh saya tak berduit hendakkan kemewahan dengan cara nak jual rumah arwah ayah.

“Walaupun saya nafikan, tetapi nama saya sudah buruk. Kerana tak ada jalan lain saya terpaksa beritahu adik-adik lain. Setelah berbincang kami lantik salah seorang adik lelaki untuk bincang dengan emak. Dan beritahu emak tak boleh buat seperti itu. Harta tinggalan arwah ayah sudah jadi pusaka, dan sepatutnya dibahagikan mengikut faraid.

“Malangnya emak tak setuju, katanya kerana rumah tersebut ada nama abang, berikan pada dia, itu perintah emak. Kami cuba bawa berbincang dengan emak, abang dan adik beradik lain. Tapi abang tak datang. Emak juga cadangkan sebuah lagi rumah diberi pada kakak sementara rumah yang emak duduk sekarang diberikan kepada kami 4 beradik bila emak meninggal nanti.

“Adik cuba ceritakan pada emak, apabila salah seorang ayah atau emak meninggal dunia, harta tinggalannya jatuh kepada waris yang berhak dan pembahagian mesti dibuat mengikut faraid, semua itu boleh diususkan oleh Pejabat Bahagian harta pusaka kecil. Jika emak hendak berikan kepada salah seorang anak emak pun tak boleh sebab harta itu bukan milik emak masih milik arwah ayah. Macam mana pun salah seorang adik beradik kena ambil kuasa atas harta tinggalan ayah, emak tak boleh beri ikut kehendak emak sendiri.

“Keputusan itu buat emak merajuk, lantas menuduh kami hendak berebut harta pusaka ayah. Kata emak dia pun ada harta, dari keluarganya, jika dia mati dia tak izinkan kami memiliki tanah tersebut. Sebenarnya kami tak faham mengapa emak tak mahu dengar nasihat atau penjelasan kami, emak bukan tak bersekolah dan tak faham tentang faraid.

“Namun kata adik, emak mungkin marah sebab hingga kini emak masih tak dapat harta arwah ayah dan enaknya, kerana harta itu belum ada sesiapa yang ambil kuasa untuk bertindak sebagai pemegang kuasa. Dan emak lebih sakit hati apabila dia dapat tahu sekeping tanah arwah ayahnya telah dimiliki oleh adiknya. Sedangkan adik beradik lain belum dapat bahagian mereka. Lebih sedih ada antara adik-beradik emak sudah meninggal dunia.

“Adik yang lebih faham tentang bab harta pusaka cuba terangkan pada emak tentang faraid, dan mengapa faraid mesti dibuat selepas salah seorang ibu atau ayah itu meninggal dunia. Kata adik selama ini dia tak bersuara tentang harta tinggalan ayah sebab dia tak mahu emak tersinggung, sedangkan yang sepatutnya emak lakukan ialah serahkan semua harta ayah kepada anak-anak untuk diuruskan. Emak tak boleh ambil semua kecuali pencen ayah.

“Sebenarnya kami tak tahu apa yang meracun fikiran emak hingga emak tak boleh berfikir dengan waras. Kalau emak tak faham emak boleh tanya kepada orang yang lebih arif. Tentang masalah harta datuk yang emak tak dapat hingga kini, adalah kesalahan adik beradiknya yang tak mahu ambil kuasa. Atau mungkin ada masalah lain yang kami tak tahu.

“Kata adik dia tak mahu emak lakukan kesalahan yang sama dibuat oleh emak dan ayahnya terdahulu, mungkin kerana mereka tidak faham dan tak ada anak-anak yang mahu ambil berat masalah tersebut, maka tinggalkan kekusutan masalah itu diwariskan kepada anak cucu yang jumlahnya melebihi beratus orang kini.

“Berbalik kepada masalah kami, hingga kini masih belum selesai. Emak sudah tidak berapa gembira dengan kehadiran kami, kerana hajatnya nak balas budi kakak dan abang dengan memberi mereka harta tak tercapai. Namun adik masih menunggu keputusan abang sama ada dia mahu ambil kuasa terhadap rumah tinggalan ayah. Jika tidak adik akan usahakan.

“Bagaimana pun adik faham bukan mudah untuk dia berdepan dengan emak yang masih kusut fikirannya. Kecuali jika abang mahu berbincang dengan kami tentang hasrat emak hendak beri rumah kepadanya. Harapan kami emak lepaskan dengan rela hati biarlah adik uruskan. Lagi pun emak tak boleh ambil kuasa atau berkuasa penuh atas harta ayah, walaupun arwah suaminya.

“Malangnya emak masih mempunyai pemikiran lama seperti orang zaman dahulu, di mana kebanyakan isteri mendakwa apabila suami mereka meninggal dunia, maka semua harta milik suaminya, secara otomatik jatuh kepada hak dan miliknya. Sebenarnya tidak, harta tinggalan suaminya, menjadi milik anak-anak sementara si isteri cuma mendapat sebahagian kecil sahaja.

“Tetapi bagaimana boleh kami terangkan kepada emak jika emak tidak percaya, salah cakap emak akan tuduh anak-anak nak bolot harta suaminya dan hendak membuangnya. Itu lagi parah, silap hari bulan emak akan menyumpah anak-anak dan tidak mengaku kami anaknya, semua ini gara-gara harta yang ditinggalkan.

“Walaupun ada kalangan wanita muda sudah memahami masalah ini, tetapi ada juga yang ambil semua duit tinggalan KWSP atau insuran milik arwah suaminya tanpa membahagikan mengikut faraid hak kepada ibu bapa arwah suaminya. Masalah ini masih berlaku, terutama jika si mati tinggalkan sejumlah wang yang banyak kepada si penama kebetulan isterinya. Sedangkan si isteri cuma ada anak perempuan sahaja, sementara ibu dan ayah arwah masih hidup.

“Di sinilah baiknya ada hibbah, tetapi bukan semua orang faham termasuk saya. Kerana kebanyakan ibu bapa merasa terlalu takut dan bimbang menyerahkan harta dan wangnya kepada anak-anaknya, ketika mereka masih hidup. Pertama takut anak-anak jual hartanya.’’ Itu cerita NorIman Hanan tentang masalah harta tinggalan ayahnya yang belum diselesaikan.

 

 

ep2p-2