Dakwaan Guling PM: Ketua Pemuda JB Gesa Khairy Betulkan Keadaan

Johor Bharu -Ketua Pemuda Johor Bharu, Syaiful Rizal Abd Ghani menggesa kepimpinan sayap UMNO itu supaya tampil membetulkan dakwaan komplot untuk mengulingkan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

 

Syaiful dalam satu kenyataan yang dihantar kepada SuaraTV berkata, pendedahan imej perbualan group whatsapp yang melibatkan beberapa exco Pemuda baru-baru ini telah menimbulkan perlabagia persoalan.

 

“Pelbagai persoalan wujud di kalangan akar umbi, samada wujud komplot atau gerakan dalam kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia untuk menjatuhkan YAB DS Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Parti.

 

“Pemuda di peringkat akar umbi keliru dan tertanya-tanya pendirian sebenar Pemuda UMNO Malaysia dalam isu 1MDB serta serangan bertubi-tubi pembangkang dan media asing terhadap YAB DS Presiden” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Menurut Syaiful Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin perlu tampil membuat kenyataan bagi membersihkan keadaan.

 

“Ini adalah masa terbaik untuk YB Khairy Jamaludin selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk tampil memperbetulkan keadaan dalam menjaga nama Pergerakan Pemuda dan saya yakin dgn wibawa YB Khairy Jamaludin untuk mengajak seluruh warga Pemuda UMNO agar bersolidariti bersama YAB DS Najib Tun Razak dan konsisten mempertahankan beliau daripada segala tohmahan dan fitnah jahat pembangkang dan media asing.

 

“Ini sekaligus akan menutup segala cerita-cerita kononnya Pemuda UMNO Malaysia tidak menyokong YAB PM dan membiarkan beliau bersendirian” katanya lagi.

 

Syaiful turut menjelaskan ramai di kalangan pemimpin UMNO yang bercakap mengenai persepsi rakyat.

 

” Sebagai ahli parti, kita harus bertanya pada diri kita apa yang telah kita lakukan setakat ini untuk mengubah persepsi masyarakat yang salah akibat fitnah. Saya turut hairan kenapa wujud gambaran seolah-olah tiada inisiatif daripada pihak kerajaan untuk menjelaskan isu 1MDB.

 

” Pengumuman Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa laporan awal oleh Ketua Audit Negara tidak menemui sebarang bukti salah laku dalam urusniaga 1MDB sepatutnya kita jadikan asas untuk mengembalikan semula keyakinan akar umbi dan sokongan pengundi” ujarnya pula.

 

Syaiful turut menggesa mereka yang tidak berpuas hati dengan isu 1MDB untuk bersabar sehingga laporan penuh Jawatankuasa Kira-Kira Wang keluar.

 

“Kalau tidak mahu menyokong pun setidak-tidaknya janganlah keluarkan kenyataan yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

 

“Saya secara peribadi akan terus menyokong dan membantu YAB Presiden selagi beliau tidak dibuktikan bersalah” katanya lagi.