CINTAKAN SUAMI ORANG BUKAN SALAH WANITA

 

DCCK  17 MEI 2015  —-

“TIDAK keterlaluan jika saya katakan bahawa pejabat adalah rumah kedua kita. Sebabnya, di pejabatlah kita bertemu dengan ramai kawan, yang boleh kita anggap seperti saudara mara kita sendiri. Kita bercerita tentang keluarga masing-masing dan berkongsi perasaan suka dan duka selain mencari kegembiraan bersama.

“Kerana itu apabila saya ditawarkan bekerja di sebuah pejabat besar dan ternama, saya merasa saya amat bertuah, kerana sebagai orang baru yang masih muda dan mentah, saya sentiasa memerlukan bantuan tunjuk ajar orang yang lebih kanan dalam pejabat itu. Dan saya rasa bangga kerana kehadiran saya diterima baik dan menjadikan hubungan kami seperti satu keluarga besar di pejabat itu.’’ Itu permulaan cerita Ezzany Fitri dalam emelnya.

“Tujuan utama saya ingin memaparkan pengalaman hidup saya ini adalah untuk dijadikan panduan dan iktibar kepada kaum wanita dan lelaki yang bekerja jangan suka mengutuk, menuduh jika bertemu dengan kes seperti yang saya lalui. Bukan semua gadis menggoda suami orang apatah lagi menghancur rumahtangga wanita lain. Namun apa yang terjadi bukan atas kehendak saya.

“Saya berkelulusan perakaunan dari sebuah IPTA tempatan. Umur ketika mula-mula diterima bekerja belum pun mencecah 25 tahun. Dengan kelulusan itu memang mudah saya dapat kerja, dan saya ditempatkan di bahagian pengurusan, kebanyakan petugasnya terdiri orang yang senior dan berjawatan besar dan kanan.

“Di bahagian ini memang tidak ramai petugas, selain pengurus-pengurus kanan terdapat juga hanya beberapa orang eksekutif dan pembantu pengurusan sahaja. Oleh kerana bilangan petugas tak ramai, maka boleh dikatakan hubungan kami macam sebuah keluarga, sentiasa tolong menolong. Sementara pekerja bahagian lain ditempatkan di tingkat bawah.

“Walaupun saya baru bekerja tak sampai setahun, tetapi kerana baiknya hubungan, mereka  senang didekati dan menjadi tempat saya mengadu masalah kerja, dan ada juga personal. Apatah lagi kerana saya paling muda, maka ramailah yang suka berbual dengan saya dan membantu jika saya ada masalah.

“Kebanyakan mereka sudah berumahtangga. Cuma saya masih bujang. Gaji lebih dari cukup untuk diri sendiri, kerana saya tinggal dengan keluarga, maka wang tidak menjadi masalah, hinggakan kereta pun ayah yang belikan ketika saya masih menuntut lagi. Pendek kata, ibu dan ayah banyak membantu dan menasihatkan saya supaya menjadi pekerja yang baik.

“Walaupun tinggal bersama keluarga, tetapi mereka tidak menyekat jika saya ingin keluar makan dengan kawan, minum kedai mamak, lepak, shopping atau bermalam sehari dua di rumah kawan. Mereka tidak strick tetapi sentiasa menasihati. Begitu juga kepada adik beradik saya yang lain, kerana itu kesemua kami berjaya dalam pelajaran. Alhamdulillah.

“Dalam ramai pengurus kanan-kanan ini terdapat seorang pengurus yang sungguh peramah, umur awal 40an bernama Encik Sham. Dia disenangi oleh semua kakitangan, tak kira bahagian pengurusajn mahupun di peringkat bawah. Semua orang kenal dia senang bergaul dan berbual. Bila ada pertandingan sukan, dialah yang sangat popular, walaupun dia tidak  aktif bersukan, tetapi dia menjadi teraju utama penggerak aktiviti sukan, dan tukang sorak yang handal. Lebih menarik dia suka bergurau dan bergaul dengan pekerja lain tanpa mengira bidang pekerjaan mereka.

“Oleh kerana En Sham sudah berumahtangga, maka kami pekerja  perempuan tidaklah begitu mengambil berat dengan gurauan dan usikannya, kami anggap dia bergurau. Namun dalam pergurau ada seriusnya, dan semua kerja dia hendak cepat disiapkan tak kira masa, walaupun memaksa kami terpaksa balik lambat jika hasil kerja kami tidak mencapai penilaiannya. Tapi kami rela kerana beliau sentiasa membantu.

“Bagaimana pun kerana nature of work memerlukan saya sentiasa berkomunikasi dengan beliau. Hinggalah suatu hari kami semua perlu menyiapkan bajet. Dan setiap siap saya ditugaskan untuk melengkapkan laporan bajet untuk beliau lihat, baca dan bentangkan kepada pihak lebih atas.

“Setelah beberapa hari bertungkus lumus menyediakan laporan, sebagai tanda terima kasih (alasan), En Sham ajak saya pergi makan malam. Mulanya, saya anggap ajakan nya satu gurauan. Tetapi dia bersungguh-sungguh. Maka saya terima pelawaannya.

“Kami makan disebuah restoran Jepun. Tidak ada apa-apa berlaku. Nasihatnya janganlah beritahu sesiapa di pejabat, nanti `kopak’ dia terpaksa belanja makan staf lain sama. Beberapa hari kemudian dia ajak saya makan tengah hari bersama pegawai lain. Saya ikut aja. Tetapi untuk makan malam kemudiannya saya tolak, sebab tidak ada alasan.

“Tetapi En Sham tidak patah hati, dia terus mengajak hingga saya terpaksa terima. Selepas itu seminggu sekali kami mesti makan malam bersama. Kami tak bercerita, tetapi En Sham  banyak merenung saya dan memerhatikan bila saya bercakap. Ketika itu mulalah keluar puji-pujian membuat saya gelisah. Lebih menakutkan dia berterus terang bahawa dia ingin berkahwin dengan saya.  Saya bukan sahaja tersentak, malah merasakan ada batu besar menimpa kepala saya. Ini satu malapetaka. Saya tergamam, kaku dan tidak berkata-kata.

“Kerana terkejut 3 hari saya demam, saya tak tahu apa harus saya buat. Kepada siapa nak mengadu, dengan kawan pejabat, pasti `bom akan meletup’. En Sham telefon arahkan saya datang kerja katanya kerja saya tak beres. Tetapi sebenarnya dia sekali lagi melafaskan hasrat untuk berkahwin dengan saya. Tetapi saya tolak.

“Kerana menolak saya diserang dengan sms bertali arus. Akhirnya saya terpaksa jawab panggilan telefonnya. Katanya dia akan telefon saya jam 11 atau 12 malam dan siang hari dia akan hantar sms dan dia mahukan saya terima lamarannya. Saya serba salah. Kerana dia sudah berkeluarga. Saya tak mahu dipanggil maklok perosak.

“Saya sedar hubungan ini tidak membawa saya ke mana-mana, kerana saya memang tidak mahu jadi isteri kedua, dan saya tidak mahu hancurkan rumahtangga yang dia bina bersama isterinya selama 16 tahun. Saya tidak tegar. En Sham tidak pernah putus asa untuk berkahwin dengan saya. Tetapi jawapan saya, hidup ini tidak semudah 1, 2 dan 3. Dan saya beritahu hubungan ini mesti diputuskan.

“Malangnya semakin saya mahu putuskan hubungan ini sebaliknya dia tetapkan saya mesti keluar makan malam dengannya setiap malam Khamis. Tempatnya di restoran dan hotel eksklusif dan mahal-mahal.  Malangnya, walaupun saya cuba sembunyikan hubungan kami, tetapi masih dapat dicium oleh teman sepejabat. Akibatnya saya dipulaukan, diumpat keji dan dinina. Mereka jatuhkan hukum konon saya bersalah kerana memikat suami orang, tetapi tahukah mereka siapa sebenarnya yang memikat?

“Namun mereka tidak marahkan En Sham sebaliknya menganggap beliau seorang yang baik dan tak bersalah, sebaliknya saya yang salah. Tahukah anda It take two to tango.

“Mentang-mentang En Sham lelaki, berpangkat maka dia dilepaskan? Dan saya perempuan, sekadar eksekutif muda maka saya bersalah? Saya dipulaukan, diumpat keji, dihina dan difitnah. Hinggakan pelbagai cerita tak masuk akal disebarkan dalam pelbagai versi.

“Kerana tidak tahan difitnah akhirnya saya letak jawatan seterusnya memutuskan hubungan dengan En Sham. Namun En Sham pujuk saya terus bekerja. Tapi saya tolak biarlah saya berkorban demi keluarganya bahagia dan teman pejabat gembira.

“Walaupun saya kecewa dan menghadapi mental disorder dengan keputusan saya itu, tetapi saya puas hati pernah berbakti dan berjasa kepada mereka yang sering kesempitan meminta bantuan saya. Bukan mengungkit, tetapi itulah kenyataan saya diperlukan ketika mereka terdesak, habis sesak mereka, saya ditolak ketepi.

“Kini saya kesempian dan bersendirian, saya hilang segala-galanya, kerjaya dan orang yang amat saya sayang. Kepada bekas rakan sepejabat, muhasabah lah diri sendiri sebelum menutup periuk nasi orang lain. Setiap fitnah yang anda lakukan, anda tanggunglah dosanya, kerana saya tidak akan maafkan. Kepada isteri dan anak-anak Sham, saya mohon ampun dan maaf kerana mencuri masa kebahagian anda untuk diri saya sendiri. Tetapi bukan saya yang mendahulukan, saya tidak pernah memikat suami anda.

“Nasihat saya kepada wanita bujang dan berkerjaya, hati-hati dengan lelaki yang sudah berumahtangga. Mereka ada banyak kelebihan untuk membuat anda jatuh cinta padanya. Tapi percayalah, cinta anda tidak akan kekal dan sampai ke mana pun. Ia tidak akan membuat anda bahagia selamanya.

“Kepada lelaki yang bergelar suami jika anda mencari kebahagian di luar, fikirlah 10 kali, kerana sekali anda lukakan dan keciwakan hati wanita, peristiwa yang sama akan akan menghancurkan  hidup anak perempuan anda satu hari nanti.

“Walaupun kini saya masih menganggur, tetapi saya bersyukur saya masih muda masih boleh berdiri walaupun tidak tegap seperti dulu. Peristiwa yang terjadi ke atas diri saya ini akan jadi pengajaran dalam hidup saya sampai bila-bila,’’ itu cerita Ezzany Fitri tentang pengalaman pahit yang dilaluinya.

 

 

 

ep2p-5small