Bila Buka Facebook, Ayuh Cermin Diri Sendiri Dulu…

Sebenarnya, penulis sendiri merupakan salah seorang pengguna laman-laman sosial di negara kita atau lebih dikenali sebagai “warga netizen”. Penulis memiliki akaun Facebook, Twitter, Instagram, malah penulis juga berblog.

Cuma di sepanjang Ramadhan ini, kekerapan penulis untuk berada di dunia maya agak terbatas sedikit memandangkan lebih memilih untuk meluangkan lebih masa keemasan sepanjang bulan ini untuk mengaut “untung lebih” untuk “bekalan semaksimum” di hari akhirat kelak.

Namun sekali sekala, ada jugalah penulis membelek-belek akaun laman sosial dan meninjau cerita-cerita terkini di dalam dan luar negara.

Apa yang penulis pelikkan ialah akhlak majoriti “tukang komen” di kalangan warga netizen di negara kita yang masih enggan berubah. Melihat identiti mereka, penulis yakin mereka beragama Islam, tapi komen yang mereka keluarkan benar-benar setaraf malah lebih teruk dari “Diva” terkenal Azwan Ali!

Benar, Azwan Ali teruk dikutuk dan dikecam gara-gara kelancangannya di laman sosial. Namun apa pula kurangnya mereka yang beragama Islam yang lain yang begitu mudah menghamburkan kata-kata nista di laman-laman sosial?

Penulis bertambah pelik lagi melihat akhlak dan komen-komen mereka terhadap para pemimpin kerajaan khususnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Meskipun kedua individu itu dilapor media sedang melakukan pahala secara jelas di depan mata, namun bagaikan dirancang pihak tertentu, berduyun-duyun mereka masuk mencela dan melemparkan caci maki terhadap Najib dan Rosmah.

Penulis tidak nafikan bahawa lebih ramai lagi yang membela dan menghormati Najib dan isterinya. Namun, bagaimana pula dengan segelitir yang hadir dan menunjukkan akhlak mazmumah mereka itu?

Lebih menghairankan, jika bercakap mengenai agama dan moral, lagak mereka bagaikan lebih hebat dari ulama dan ahli sufi yang faqih mengenai hukum hakam dan suluq Rasulullah SAW. Tapi caci maki mereka nampaknya lebih mengalahkan Azwan Ali? Sangat kontra, bukan?

Soalnya, apakah itu dinamakan sebagai tanda-tanda golongan yang “munafiq”? Penulis agak hairan dengan golongan berkenaan seolah tidak menghormati bulan Ramadhan yang mulia dan sengaja meneruskan akhlak syaitan ketika syaitan sebenar dirantai. Apakah mereka pengganti syaitan di bulan puasa?

Penulis enggan menghakimi golongan tersebut. Rasanya pembaca sendiri boleh melihat dengan jelas tentang kewujudan golongan itu di laman-laman sosial bukan? Mencarut bagi mereka bagaikan suatu kebiasaan, seolah kurap yang semakin digaru semakin sedap? Sedap sungguh memaki hamun orang?

Ada kalanya, selamba saja di”photoshop”kan gambar-gambar individu seperti Ahmad Maslan, Rani Kulup dan entah siapa di laman-laman sosial tanpa rasa berdosa pada mereka. Kemudian diketawakan pula beramai-ramai?

Bayangkan jika perkara itu dilakukan di zaman Rasulullah SAW, apa agaknya reaksi baginda terhadap kita, kan?

Seorang ulama yang pernah mengajar penulis memberitahu bahawa dosa terhadap Allah SWT boleh diminta setiap hari menerusi zikir dan doa. Dan memandangkan Allah itu Maha Pengampun, inshaAllah akan diampunkan dosa-dosa kita padaNya.

Namun kata beliau, dosa terhadap makhluk, khususnya manusia amat sukar untuk ditebus selagi kita tidak meminta maaf pada pihak yang kita lakukan dosa terhadapnya dan dia pula tidak memaafkan kita. Maksudnya, selagi pihak berkenaan tidak memaafkan kesalahan kita, jangan haraplah dosa kita padanya akan terhapus.

Soalnya, sekiranya kita mengutuk Najib, Rosmah, Abdul Hadi Awang, Nasrudin Hassan Tantawi, Ahmad Maslan, Hassan Malek dan ramai lagi pemimpin yang langsung tidak kita kenali, apakah kita rasa dosa kita pada mereka akan terhapus dengan sendirinya tanpa maaf dari mereka?

Justeru itu, penulis mengharapkan supaya kita semua merenung diri masing-masing. Jangan menuding jari pada orang lain dan tengoklah pada diri sendiri. Sejauh manakah kita “hanyut” dalam “permainan” ciptaan barat berkenaan?

Lebih utama, sejauh manakah kita telah melakukan dosa terhadap mereka-mereka yang dikutuk di laman sosial dan apakah mereka sudah memaafkan kita? Jawapannya boleh difikirkan sementara menanti ajal kita di dunia yang serba fana ini. Wallahua’alam. –Amir Hamzah/Utaranews.com

ep2p-5small