BERSUAMI, BUKAN SEMUA WANITA BERNASIB BAIK

DCCK  24  MEI 2015 —

“SUDAH lama saya simpan hasrat untuk mencurahkan isi hati saya pada  pembaca ruangan DCCK ini, tetapi setiap kali saya nak hantar emel, saya terpaksa padamkan, sebab saya tak tahu  mana nak mulakan. Dan ada kalanya saya terasa malu hendak bercerita tentang masalah dalam keluarga sendiri.

“Tetapi semakin saya simpan, saya fikirkan masalah ini benar-benar menghantui kehidupan saya. Saya memang tak pandai sekolah, tetapi jika keadaan dalam rumah kami, iaitu perangai ayah saya boleh berubah baik, tentu ia tidak membantutkan tahap pembelajaran saya. Namun saya tak kesal, mungkin setakat belajar di kolej swasta sahajalah tahap pencapaian saya.’’ Itu cerita Norjulia Hasni dalam emel pendeknya dan ketika kami berbual.

“Umur saya sekarang lebih 19 tahun, rasanya tidaklah terlalu muda untuk memahami masalah rumahtangga khususnya ibu bapa sendiri. Kerana seingat saya, perangai ayah saya tak pernah berubah sejak saya boleh berfikir ketika bersekolah menengah rendah lagi.

“Dulu nenek selalu tanya saya, ayah selalu kerja luar ke? Saya kata tak tahu, tapi saya beritahu ayah selalu tak balik rumah, kata emak ayah kerja jauh . Saya dan 2 orang lagi adik percayalah. Tetapi bila ayah tak balik, emak selalu masam muka, termenong, ada kalanya emak demam. Alasan emak bila kami tanya dia kata penat kerja. Tapi emak tak masak pun bila ayah tak balik, emak beli makanan siap masak dan bila balik rumah emak masak nasi saja.

“Sebenarnya kami memang suka kalau ayah tak balik, sebab emak tak banyak kerja. Bila ayah ada di rumah emak kena masak untuk makan malam, dan bangun pagi siapkan sarapan ayah. Kalau ayah tak ada rumah kami cukup dengan sarapan roti dan milo sahaja. Tapi makanan ayah istimewa, kalau pun roti, mesti sandwich telor atau sardine ataupun buat roti telor.

“Pagi-pagi emak keluar rumah hantar kami ke sekolah sebelum ke tempat kerja. Ayah masih tidur, dan dia pergi kerja sendiri, tak tahu pukul berapa. Tapi kalau balik rumah memang lewat. Biasanya emak telefon tanya ayah makan malam atau tidak. Kalau ayah kata tak makan emak menong lagi. Dan masak lauk ringkas untuk kami, ayam goring, telor mata, ikan goring kicap atau singgang. Itu sudah cukup.

“Biasanya emak tunggu sampai tertidur di sofa hingga ayah balik. Dulu masa kecil saya tak kisah mak tidur di mana pun. Tetapi semakin besar, saya hairan dengan perangai emak dan ayah. Ayah suka bersungut, complain, tapi emak diam. Kalau kena marah pun emak diam. Dan lagi pelik emak tak pernah marah kalau ayah balik lewat.

“Bila masuk sekolah menengah, mata saya semakin terbuka luas, dan saya sudah boleh berfikir, terutama bila ada kawan-kawan sekolah bercerita tentang perangai ayah mereka yang suka bergaduh dengan emaknya. Saya perhatikan mereka cukup faham dengan perangai ayah mereka, siap dengan cerita yang mengerikan, bila mereka sebut pasal `perempuan J#@$#%, betina S$#@!&. Kadang-kadang saya hairan dari mana mereka tahu perkataan itu.

“Oleh kerana saya suka pasang telinga, maka adalah seorang dua kawan bercerita pasal ibu ayah mereka bergaduh, berpukul-pukul sampai buat laporan polis. Semakin saya dengar cerita mereka, saya jadi semakin faham, agaknya inilah perangai ayah saya, dia mungkin ada skandal dengan wanita lain, tetapi emak saya baik dia tak pernah berperang dengan ayah.

“Emak terlalu hormatkan ayah, apa ayah suruh emak buat, tak melawan, tak banyak cakap. Walaupun saya lihat emak sering termenung, susah hati dan menangis, bila nampak saya melintas emak cepat-cepat kesat air mata. Jadi bila saya dengar cerita kawan dan saya lihat perangai emak, maka saya boleh simpulkan bahawa perangai ayah saya sama perangai ayah kawan saya, cuma bezanya emak tak tahu bertanya apatah lagi meninggi suara.

“Kemuskilan ini ditambah dengan soalan nenek yang bertanya tentang ayah. Jadi bila saya semakin besar maka saya faham ayah saya memang ada skandal. Seperkara lagi ayah tak berapa suka balik ke rumah nenek walaupun tak jauh tak sampai pun 200km. Ayah lebih suka balik ke rumah emaknya sendiri, terutama pada Hari Raya.

“Dari nenek saya dapat korek cerita, bahawa dulu nenek pernah marahkan ayah sebab dia suka pukul emak. Emak tak berani mengadu pada nenek, tetapi nenek dapat cerita dari anak saudaranya yang kebetulan bekerja satu bangunan dengan ayah. Sejak itu ayah tak suka jumpa nenek apa lagi jika ada kenduri kendara sebelah emak. Ayah takkan pergi. Kami balik dengan emak.Untung emak pandai memandu kereta sendiri.

“Kata nenek dia besarkan anak-anak perempuannya bukan untuk dianiaya oleh suami mereka. Nenek besarkan anak-anaknya dengan kasih sayang, beri pelajaran dan disuruh bekerja sebelum berkahwin. Kata nenek lagi dengan pekerjaan hidup mereka terjamin, kalaupun suaminya tak beri nafkah, mereka boleh besarkan anak-anak sendiri. Syaratnya mesti pandai berbelanja dan menyimpan duit sejak mula bekerja.

“Kata nenek lagi, lelaki Melayu bukan macam suami keturunan Arab. Mereka bertanggung jawab kepada keluarganya. Sebagai contoh, isteri orang Arab tak bekerja, tetapi makan minum mereka disediakan, pelajaran anak-anak diutamakan, sebab mereka tahu halal haram dan keutamaan dalam keluarga adalah anak-anak.

“Kalaupun lelaki Arab berkahwin lebih dari seorang, mereka tetap bertanggungjawab kepada isteri-isteri dan anak-anak terdahulu dan mereka adil. Mereka tak biarkan anak-anak bekas isteri hidup bersepah dan tak berpelajaran, sebab mereka tahu anak-anak waris mereka, yang boleh mencalarkan nama baik keturunan mereka atau sebaliknya.

“Tidak seperti kebanyakan lelaki Melayu, bila berkahwin kedua, anak-anak dari isteri pertama dibiarkan tanpa beri nafkah. Kadang kala si isteri turun naik mahkamah berbelas kali, tetapi si ayah tetap tak mahu beri nafkah. Apa jenis ayah seperti ini. Nak kata bukan Islam, mereka mengucap dua kalimah syahadat. Tetapi kelakuan mereka orang bukan Islam lebih baik.

“Semakin bertambah besar saya jadi semakin faham, dan kini saya tahu benar perangai ayah saya yang memang tak bertanggungjawab. Begitu juga cerita kawan-kawan saya, sebab itulah agaknya kini saya semakin meluat dan benci dengan perangai ayah. Dalam seminggu tak pernah sekali saya berbual dengannya. Kalau dia di rumah saya dalam bilik buat-buat belajar. Bila tak ada di rumah barulah saya keluar berbual dengan emak. Tetapi emak lebih suka diamkan diri. Kadang kala saya cuba juga berbual, tetapi dia suruh saya pergi belajar.

“Saya cuba tenangkan hati dan perasaannya tetapi emak suka menyendiri. Saya lihat emak semakin kurus, saya bimbangkan kesihatannya. Saya pernah mengadu pada nenek tentang kesihatan emak, tetapi nenek ada cerita lain. Kata nenek; `emak kau tu `kena ilmu pengunci, ilmu penunduk’ sebab tu emak kau tak berani bersuara, apa lagi melawan ayah kau!

“Ketika saya nak masuk kolej dulu, saya cuba ajak emak berbual, dan bercerita perangai ayah  kawan sekolah saya. Kini ayah kawan saya tu dah kahwin dan emaknya jadi ibu tunggal. Dan kerana tak sabar saya tanya emak apakah ayah pun sudah kahwin lagi. Tapi emak lekas-lekas potong cakap saya, kata emak jangan masuk campur hal orang tua-tua. Saya mesti rajin belajar bila bekerja nanti belajar simpan duit untuk masa depan, jangan jadi seperti emak.

“Kata emak, dulu dia ada simpan duit, sekarang duitnya tinggal sikit aja. Emak cuma harapkan duit pencen bila bersara nanti. Bila saya tanya ke mana pergi simpanan emak. Katanya dia gunakan untuk besarkan dan saya adik beradik.  Habis selama ini ayah tak tanggung ke makan minum kami? Kata emak. Bukan senang nak besarkan anak zaman sekarang.

“Jawapan emak memang tak memuaskan hati saya, tetapi saya tak dapat tanya lebih banyak, sebab emak lebih suka menyendiri. Keadaan ini juga membuat saya jadi terlalu takut untuk berkahwin, sebab itu hingga kini saya tak ada teman lelaki istimewa. Saya rasa buang masa saja bersuami dengan lelaki seperti perangai ayah saya.

“Ayah tak tahu menilai kasih sayang isteri. Sebaliknya lebih pentingkan diri sendiri. Suka hidup bebas, keluarga kepadanya tidak penting, sebaliknya beri lebih perhatian kepada orang lain. Kadang kala saya rasa tak ada untungnya dapat suami seperti ayahi. Dia bukan sahaja tak ada tanggungjawab, tetapi suka meletakan bebannya kepada isteri.

“Seperti kata kawan saya, ayah kami cuma pandai kahwin lebih, tetapi tak tahu bagi makan anak-anak. Suka isterinya jadi ibu tunggal boleh minta duit pada kerajaan, pejabat agama atau jabatan kebajikan  untuk tanggung makan dan sekolah anak-anaknya. Ayah macam ni memang tak tahu malu dan tak ada maruah. Suka enjoy. Nama aja orang Islam tetapi kelakuan macam S@#$%’’ itu cerita Norjulia Hasni panjang lebar sambil melepasakan marahnya.

 

 

 

 

 

 

ep2p-5small