Benam ATM: Kelantan belum selesa

kelantan 5-1 vs atm

KELANTAN enggan mendabik dada meskipun berpesta gol 5-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi tunggal Liga Super di Kota Bharu, malam kelmarin.

Pengurus The Red Warriors, Azman Ibrahim menegaskan skuad kendalian Zahasmi Ismail tidak boleh berasa selesa dengan kemenangan besar ke atas pasukan tangga kedua tercorot itu memandangkan perjalanan liga masih lagi panjang.

“Kita masih ada banyak perlawanan lagi yang akan diharungi dan saya rasa terlalu awal untuk beri pujian berlebihan kepada Kelantan. Dengan skuad yang ada begitu kecil ketika ini, kita perlu berhati-hati menghadapi baki tujuh perlawanan.

“Seboleh-bolehnya Kelantan hendak kutip mata maksimum walaupun sedar kita kena bekerja lebih keras untuk bertemu beberapa pasukan lebih kuat selepas ini,” katanya pada sidang media selepas aksi, kelmarin.

Pesta gol di Kota Bharu dicetuskan menerusi jaringan Erwin Carrillo pada minit ketiga dan 64, Wan Zack Haikal Wan Noor (m-38), Mohd Norfarhan Muhammad (m-42) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (m-74) manakala jaringan sagu hati pelawat disumbangkan Venice Elphi Danny Kaya (m-8).

Namun begitu, Azman memberitahu, misi untuk mendapatkan seberapa banyak mata itu tidak mustahil mampu dicapai sekiranya barisan pemainnya mengekalkan aksi konsisten seperti dipamerkan ketika menundukkan The Gladiators.

Menurut pengurus berusia 55 tahun itu, dia sendiri terkejut melihat bagaimana anak buahnya ‘mengamuk’ pada perlawanan itu selepas pasukannya kecewa diikat keputusan seri 2-2 oleh Sime Darby FC, minggu lalu.

“Saya tak jangka Kelantan menang besar kerana matlamat asal kita hanya untuk dapat tiga mata sahaja. Sebelum perlawanan, kita beritahu pemain tak kira siapalah jaringkan gol asalkan pasukan boleh tiga mata.

“Nampaknya mereka bawa budaya positif itu di padang. Sebenarnya, bukan mudah berdepan ATM tetapi pemain saya buktikan sebaliknya apabila beraksi cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Azman mengakui pemain simpanannya turut menyumbang kemenangan berharga pasukannya ke atas ATM.

“Saya tengok keyakinan pemain simpanan juga tinggi. Tak banyak kesilapan dilakukan biarpun kita ada banyak peluang tapi gagal menambahkan gol,” katanya.

ep2p-2