Banjir Kilat Landa Bandar JB

Johor Bahru – Lalu lintas di beberapa kawasan di daerah Johor Bahru, termasuk di bandar raya tergendala, akibat banjir kilat selepas hujan lebat, petang tadi.

 

Hujan lebat yang bermula jam 2 petang dan berterusan sehingga jam 4 petang, menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ditenggelami air.

 

Antara kawasan yang ditenggelami air adalah Jalan Wong Ah Fook berdekatan pusat beli belah City Square Johor dan Komtar JBCC.

 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, sebaik sahaja hujan lebat, air mula naik hingga satu meter tinggi di beberapa kawasan di bandar.

 

“Namun paras air mulai turun dalam masa sejam dan selepas jam 3.30 petang keadaan trafik mula kembali normal,” katanya ketika dihubungi.

 

Jurucakap itu berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

 

Sementara itu, jalan-jalan lain yang menghubungi bandar raya Johor Bahru turut dilaporkan tenggelam.

 

Antara yang terjejas adalah Taman Rinting dan Jalan Masai Lama di Masai, serta beberapa kawasan di Lebuhraya Pasir Gudang.

 

Menjelang jam 5 petang, keadaan trafik di kawasan terjejas, kembali normal.