Anwar dedahkan konspirasi sebenar Mahathir nak jatuhkan Najib

Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Tun Dr Mahahtir Mohamad menggesa Datuk Seri Najib Razak untuk berundur sebagai Perdana Menteri adalah satu tindakan yang akan memberi keuntungan kepada kroni-kroni bekas perdana menteri 22 tahun itu sahaja.

Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di penjara Kajang berkata, Mahathir sengaja mendesak Najib untuk berundur demi kepentingan kelompok-kelompok kroni beliau.

Katanya, Najib tidak perlu berundur dengan desakan yang dilakukan oleh Mahathir kerana ianya tindakan sia-sia yang akan merugikan rakyat yang menyokong perdana menteri itu.

“Kita pernah lalui proses yang sia-sia di mana pimpinan ditukar. Kita tidak perlukan penyelesaian sedikit demi sedikit.

“Usaha menukar Datuk Seri Najib yang dikepalai Tun Mahathir, tanpa reformasi sebenar, hanya akan memuaskan kelompok-kelompok kroni mereka,” kata Anwar menerusi perutusan yang disampaikan oleh peguamnya hari ini.

Anwar yang pernah merasai tindakan yang dilakukan Mahathir berkata, beliau berasa bimbang dengan desakan yang diterima oleh Najib.

Anwar berkata, sebagai seorang pemimpin yang pernah bekerja bersama bekas perdana menteri itu beliau berasa amat bimbang kerana Mahathir pasti melakukan sesuatu yang akan membuatkan Najib berundur dari jawatannya.

“Dari sebalik tembok besi ini, saya berasa amat bimbang dan risau buat tanah air kita,” katanya.-Utaranews.com-

ep2p-2