Amri Mahu Gegar Jaring Borussia Dortmund

JOHOR BAHRU – Aksi persahabatan menentang gergasi bola sepak Jerman, Borussia Dortmund Khamis ini sememangnya dinantikan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Amri Yahyah.

Bagi Amri, perlawanan tersebut cukup istimewa buat dirinya kerana ingin menguji sendiri kehebatan pasukan yang pernah menjuarai Liga Jerman pada tahun 2012 di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Katanya, walaupun hanya perlawanan persahabatan, namun Harimau Selatan akan turun memberi tentangan hebat kepada Dortmund.

“Bagi saya perlawanan ini amat istimewa kerana mereka (Dortmund) merupakan pasukan terkuat di Bundesliga selain Bayern Munich.

“Tambahan pula, ini merupakan pertama kali mereka berkunjung ke Malaysia untuk siri jelajah Asia.

“Walaupun saya tidak mengikuti rapat perkembangan pasukan ini, tapi saya tahu akan kehebatan mereka di persada Eropah terutamanya kelibat pemain kebangsaan Jerman, Marco Reus dan Jepun, Shinji Kagawa.

“Jika diberi peluang saya mahu diturunkan kerana ia satu penghormatan.

“Namun, segala terpulang kepada Ketua Jurulatih (Mario Gomez) dan saya menghormati keputusan yang dilakukan kerana kita akan menentang Selangor dalam aksi Liga Super Isnin depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, penyerang berusia 34 tahun itu pernah beraksi menentang beberapa kelab ternama Eropah, antaranya Manchester United pada 2009, diikuti Chelsea dan Barcelona pada 2013.

Dalam aksi persahabatan Malaysia menentang kelab Eropah itu, Amri membantu menjaringkan dua gol ketika bertemu United dan satu gol ketika menentang Barcelona.

“Sekiranya diturunkan, saya bercita-cita untuk meledak sekurang-kurangnya satu gol bagi menambah koleksi jaringan ketika menentang kelab gergasi Eropah,” kata pemain kebangsaan itu lagi.

– Utusan

ep2p-5small