Akta Keharmonian Nasional Perlu Untuk Pupuk Keamanan Dan Perpaduan

Kuala Lumpur – Akta Keharmonian Nasional (AKN) perlu direalisasikan segera bagi memupuk persefahaman dan saling menghormati masyarakat berbilang kaum, kepercayaan dan budaya di negara ini.

 

Perkara itu disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan selepas insiden pergaduhan di Plaza Low Yat baru-baru ini.

 

Kata Paul Low, pelbagai rundingan dengan pelbagai pihak telah diadakan bagi merealisasikan undang-undang yang mempromosikan keamanan dan perpaduan melalui pendidikan, kesederhanaan dan juga pengantaraan.

 

“Langkah pertama untuk keamanan dan perpaduan adalah dengan mewujudkan ruang secara terbuka untuk perbincangan dan saling menghormati dan bukannya berdasarkan ketidakpercayaan.

 

“Ancaman terbesar untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian tidak datang dari luar tetapi dari dalam. Kita telah lihatnya sendiri melalui tindakan perkauman dan agama.

 

“Perbalahan ini dapat diharmonikan dengan menerima kenyataan bahawa kita hidup bersama dengan pelbagai masyarakat dalam satu negara. Undang-undang yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada proses tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

 

Paul Low berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup sebelum ini yang menyatakan bahawa insiden di Plaza Low Yat baru-baru ini membuktikan akta tersebut perlu bagi mengekalkan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia.

 

Menurut Paul Low, Malaysia tidak akan berjaya sebagai negara maju dan progresif tanpa keamanan, keharmonian dan perpaduan serta bersama-sama mentadbir urus negara dengan baik bagi menjamin kedudukan ekonomi yang kukuh dan kestabilan politik.

 

“Insiden curi telefon bimbit telah meletus menjadi sesuatu yang lebih besar dan bertambah parah apabila ada kumpulan yang mempunyai agenda tersendiri memanfaatkan situasi tersebut dengan menaikkan isu perkauman sehingga mengakibatkan keganasan, kecederaan kepada manusia, kerosakkan harta benda dan rasa tidak selamat di Plaza Low Yat,” katanya.

 

AKN telah dicadangkan sebelum ini bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menarik balik cadangan tersebut dan mengekalkan Akta Hasutan.