A Samad Said tuduh Ridhuan Tee berlagak nak jaga Pintu Syurga

“Saya hormat mereka ‘jaga pintu syurga’ tapi saya juga punya jalan lain untuk masuk syurga.”

Kata-kata Sasterawan Negara A. Samad Said sebagai membalas kecaman pemimpin konservatif agama ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman dan penulis anti-Cina, Ridhuan Tee Abdullah, terhadap dirinya selepas menyertai DAP.

Abdullah Zaik dalam tulisannya bulan lalu mahu Pak Samad berfikir tentang mati, dan bukannya berjuang dengan DAP.

Dalam tulisannya beliau mengutuk Pak Samad dengan berkata: “Dalam usia yang dah cecah lebih 80an, orang fikir nak mati dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Pilih untuk kembali kpada jalan hidayah dan petunjuk bukan masuk dalam kesesatan DAP.

“Semua orang yang ada asas agama tahu bahawa perjuangan DAP bukan jalan hidayah, tetapi hanyut dengan fahaman liberalisme sekular, menyebabkan lahir di kalangan umat Islam individu dan puak yang bertindak tanpa ambil kira halal haram.”

Ridhuan pula menasihatkan Pak Samad dengan menyatakan “…bila berpolitik pastikan wadah politik boleh membawa kita ke syurga.”

Tokoh sastera negara itu tenang menjawab kutukan daripada suara-suara ekstrem agama dan kaum itu.

“Ada dua orang ini yang ‘halang’ saya masuk syurga, itu tak apa. Saya hanya tak mahu sia-siakan usia saya ini,” katanya dipetik media massa selepas majlis berbuka puasa anjuran BERSIH di sini malam tadi.

Pak Samad menjelaskan bahawa beliau menyertai DAP kerana yakin parti itu berjuang untuk seluruh orang Malaysia, dan beliau sendiri bersedia untuk menyumbang segala kemampuannya untuk membantu.

“Ada teman yang faham, ada teman yang tak faham. Tapi yang paling kenal diri saya adalah Lim Kit Siang. Kami sama-sama kerja sebagai wartawan pada tahun 60-an dulu,” tambah beliau.

Kini, menyertai DAP tanpa apa-apa agenda, beliau hanya mahu berkhidmat untuk rakyat melalui DAP kerana “parti itu mempunyai impian yang sesuai dengan diri saya”. – RK

ep2p-5small