1MDB jadi modal pembangkang jatuhkan Kerajaan Malaysia.

Kebelakangan ini, kebangkitan isu integriti serta kewibawaan Pasukan Petugas Khas dalam menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh pihak pembangkang dilihat sengaja mahu menjatuhkan imej kerajaan dan agensi penguat kuasa.

Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, mengenai perkara tersebut, pihak pembangkang bukan sahaja perlu berhenti mempertikaikan kewibawaan siasatan Pasukan Petugas Khas dalam kes 1MDB, tetapi juga perlu memberi kepercayaan kepada pasukan itu untuk mencari kebenaran kepada rakyat.

Sehubungan itu, katanya, adalah tidak wajar tindakan masyarakat yang cepat melatah dalam membuat rumusan tidak berasas sebaliknya, perlu menyerahkan perkara tersebut kepada pasukan penyiasat untuk melakukan tugas mereka dengan sebaik mungkin

“Kita faham tugas dan peranan pemimpin politik tetapi janganlah memutar belit kedudukan yang sebenar.”

“Apakah ini satu lagi taktik pembangkang yang mahu mencetuskan rasa tidak percaya dari awal-awal lagi.”

“Malah, setiap anggota perundangan dan pemimpin politik terutamanya dari pihak pembangkang perlu mendidik masyarakat, bukannya meracuni fikiran mereka dan mengelirukan dengan menyerang pasukan petugas khas. Jangan perjudikan masa depan Malaysia dengan mempermainkan emosi rakyat,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor melahirkan rasa hairan apabila beberapa Ahli Parlimen kerap kali membangkitkan isu ketidakpercayaan ke atas Pasukan Petugas Khas itu sedangkan pembentukan jawatankuasa seperti Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah itu turut dianggotai wakil rakyat daripada semua parti termasuk pihak pembangkang.

Menurutnya, selain di peringkat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, terdapat empat lagi badan bebas lain iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah turut dianggotai pihak pembangkang.

“Lebih 40 ahli menganggotai kelima-lima panel ini sebenarnya mewakili masyarakat. Mereka membawa suara rakyat dan ini bermakna pihak-pihak yang membangkitkan isu ini ada wakil atau anggota dalam pasukan petugas ini.”

“Jadi, atas kedudukan itu, saya terkejut apabila isu ini dibawa oleh wakil rakyat. Apa tujuan mereka kerana kita harus meletakkan keyakinan ke atas Pasukan Petugas Khas ini. Jika tidak, pasukan yang mana harus menyiasat kes ini? Adakah kita hendak mempelawa pihak luar untuk menjalankan siasatan?” katanya.

Irmohizam menambah, agensi penguat kuasa yang menganggotai Pasukan Petugas Khas diharapkan akan menjalankan tugas mereka dengan tegas tanpa rasa takut biarpun terdapat pihak yang cuba meruntuhkan moral dan motivasi mereka. – UtaraNews.com

ep2p-2