VIDEO Sukan SEA: Vietnam Aibkan Malaysia

SINGAPURA: Malaysia mengalami kekalahan pertama pada saingan Sukan SEA 2015 selepas tewas 5-1 kepada Vietnam pada aksi kedua kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura, Selasa malam.

Kemenangan kedua diraih anak didik kendalian Toshiya Miura itu menyaksikan Vietnam merampas kedudukan teratas kumpulan B daripada Thailand menerusi perbezaan jaringan walaupun kedua-dua pasukan berkongsi enam mata selepas dua perlawanan.

Pada aksi malam ini, Malaysia berpeluang membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan, namun sepakan percuma diambil D. Saarvindran berjaya ditepis keluar penjaga gol Vietnam, Phi Minh Long.

Vietnam, yang melakar kemenangan selesa 6-0 ke atas Brunei pada aksi pembukaan, Jumaat lepas, akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-11 namun jaringan Vo Huy Toan dibatalkan pengadil, Al Khudhayr Turki dari Arab Saudi kerana pemain tersebut dikatakan berada pada kedudukan ofsaid.

Kesilapan pemain negara menjatuhkan pemain lawan mengundang padah apabila Vietnam dihadiahkan sepakan penalti oleh Al Khudhayr dan Mac Hong Quan yang diamanahkan mengambil sepakan penalti berkenaan, tenang untuk menewaskan penjagagol negara, Mohd Farhan Abu Bakar.

Gol berkenaan terus membakar semangat pemain yang berjaya menambah jaringan kedua pada masa tambahan separuh masa menerusi Nguyen Cong Phuong yang menyudahkan hantaran Ho Ngoc Thang, sekali gus menceriakan hampir 1,300 penyokong mereka yang membanjiri venue perlawanan.

Bersambung babak kedua, Vietnam meneruskan asakan dan berjaya menambah gol ketiga menerusi Huy Toan yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-47 selepas Mohd Farhan menjatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti.

Cong Phuong menambah derita Malaysia menerusi jaringan peribadi kedua pada minit ke-53 menerusi sepakan percuma yang berjaya menewaskan Mohd Farhan.

Pemain gantian skuad negara, Syahrul Azwari Ibrahim menghadiahkan gol saguhati Malaysia pada minit ke-78 sebelum pemain gantian, Nguyen Van Toan mengesahkan kemenangan selesa pasukan Vietnam dengan jaringan kelima, selang seminit kemudian.

Malaysia sebelum ini mengalahkan Timor Leste 1-0 pada aksi pembukaan kumpulan B di venue yang sama, Sabtu lepas dan mereka dijadual berdepan Thailand yang merupakan juara bertahan pada aksi ketiga, Khamis ini.

ep2p-5small