London: Bintang Arsenal, Jack Wilshere (gambar) didenda £40,000 (RM236,000) dan diberi amaran keras selepas didapati bersalah menyanyikan lagu kontroversi mengenai kelab musuh Tottenham.

Pemain England berusia 23 tahun itu menggunakan mikrofon dan mengetuai penyokong dalam dua nyanyian tidak sopan mengenai musuh tradisi mereka ketika berarak dalam bas tidak berbumbung, sehari selepas Arsenal menang 4-0 ke atas Aston Vila pada final Piala FA bulan lalu.

“Pemain Arsenal, Jack Wilshere didenda £40,000 dan diberi amaran keras mengenai kelakuannya pada masa depan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan salah laku,” menurut satu kenyataan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris.

Sharing back2back Cup wins with so many amazing Gooners is a dream come true. Apologies if I upset or offended any of u with my celebrations

— Jack Wilshere (@JackWilshere) June 1, 2015

“Wilshere didapati bersalah melakukan komen tidak sepatutnya ketika jelajah trofi dalam bas tidak berbumbung selepas kejayaan final Piala FA kerana kelakuannya tidak senonoh dan mampu mencetus pertikaian.”

Wilshere, yang hadir dari sistem akademi Arsenal, sudah menyatakan kekesalan mengenai sikapnya itu.

“Berkongsi kemenangan Piala FA berturut-turut dengan ramai penyokong Gooners satu impian menjadi kenyataan. Mohon maaf jika saya menyinggung perasaan anda dengan cara saya meraikannya,” tulisnya dalam Twitter selepas insiden itu.

Video Wilshere menyanyi We Hate Tottenham

– Hmetro & AFP