Tiga tahun dukung kawan cacat di sekolah

Tiga tahun dukung kawan cacat di sekolahBEIJING-CHINA. Terlalu sukar untuk diungkapkan!

Bayangkan seorang sahabat anda sanggup menjadi kaki dan tangan anda sepanjang anda di sekolah.

Perkara itu kelihatan mustahil, tetapi mampu dilakukan oleh Xie Xu, 18, apabila sanggup mendukung zhang Chi, 19, dibahagian belakang badannya semata-mata untuk berulang alik ke sekolah setiap hari.

Bagi Xu, tiada apa yang diharapkan selain hanya memastikan rakannya dapat menimba ilmu ke sekolah.

Jadi melalui bantuan Xu, Chi tidak lagi menghadapi masalah untuk hadir ke kelas.

Perkara itu dilakukan selama tiga tahun. Ya, setiap hari selama tiga tahun!

Besar sungguh jasa dan kebaikan Xie Xu.

Tidak normal

Penyakit distrofi otot yang dihadapi sekian lama oleh Chi mengakibatkan dia sukar bergerak apatah lagi berjalan.

Dek kerana itu Chi sukar untuk melakukan aktiviti seperti remaja lain.

Namun siapa sangka kesakitan Chi tidak ditanggung oleh dirinya sendiri apabila ada orang lain sanggup memikul beban yang sama sepertinya. Iaitu sahabatnya Xu.

Sebenarnya kedua-dua sahabat ini bukanlah adik-beradik. Cuma, kenalan yang sama-sama menginap di asrama berhampiran Sekolah Tinggi Daxu di Xuzhou yang terletak di Wilayah Jiangsu, China.

Lakukan aktiviti bersama

Menurut Penolong Pengetua Sekolah tersebut, Guo Chunxi, kedua-dua sahabat itu sememangnya sentiasa bersama dalam apa jua perkara.

“Perlakuan mendukung selama tiga tahun memberi respons yang sangat baik kepada individu sekeliling.Lebih mengharukan Xu sanggup membasuh pakaian harian Chi, selain itu, dia juga berperanan dalam memenuhi keperluan makan Chi sebanyak tiga kali sehari.

“Xu akan mendukung Chi ke kafetaria apabila tiba waktu makan,” katanya

Pelajar cemerlang

Kedua-dua sahabat ini dinobatkan antara pelajar cemerlang di sekolah.

Akan tetapi tempoh kebersamaan mereka semakin singkat apabila kedua-duanya akan mengejar cita-cita mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Xu dikhabarkan menerima tawaran temu duga ke Institut Politeknik Nanjing, sementara Zhang Chi pula dalam proses mempersiapkan diri untuk mengambil peperiksaan kemasukan pendidikan tinggi negara ‘Gaokoa’.

Sehingga kini, perbuatan Xie Xu, menjadi inspirasi kepada dunia.

Di sebalik paparan kejahatan dan kezaliman dunia yang saban hari dipaparkan, rupa-rupanya masih ada manusia yang benar-benar berhati murni dan sebaik Xu, inilah yang dikatakan sahabat yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam bersahabat.

– Sinar Harian

ep2p-2