Seri Dengan Hong Kong, Dollah Janji Skuad Negara Akan Bangkit

Masalah dibahagian serangan menyaksikan pasukan senior negara hanya mampu terikat seri tanpa jaringan dengan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam ini.

Hong Kong hampir mendahului pada minit ke-10 apabila Lam Ka Wai membuat umpanan yang tepat kepada Chan Man Fai tetapi dapat diselamatkan oleh penjaga gawang Malaysia Mohd Farizal Marlias.

Peluang tuan rumah untuk mendahului hasil sepakan bebas kapten pasukan Indra Putra Mahayuddin dihalang oleh penjaga gol Yapp Hung Fai pada minit ke-29 sementara tendangan Joseph Kalang Tie ditepis keluar oleh penjaga gol dan kapten pasukan Hong Kong itu.

Kebuntuan berterusan hingga akhir babak pertama yang menyaksikan Mohd Amri Yahyah gagal memanfaatkan hantaran silang Ahmad Syamim Yahya dalam kotak penalti pada minit ke-40 dan Mohd Afiq Azmi sekali lagi terlepas peluang untuk membuka jaringan pada akhir babak pertama.

Selepas melihat kurang keserasian dibahagian tengah, Dollah menukar percaturan dengan membawa masuk Mohamad Nasir Basharudin menggantikan Syamim.

Kemudian Joseph Kalang Tie membuat sumbangan terakhir dengan percubaan kencang jarak jauh yang nyaris menerjah gawang sebelum dia digantikan dengan pemain Pahang Azamuddin Akil.

Dollah turut menukarkan Farizal Marlias dengan penjaga gawang The Red Warrior Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke 67, Hong Kong mencemaskan pintu gol negara dengan sepakan percuma yang menerjah tiang pintu gol namun skuad negara bernasib baik apabila bola bergolek keluar selepas terkena kepala Khairul Fahmi.

Safee Sali memiliki dua peluang untuk mencatat nama sebagai penjaring namun percubaannya mudah dibaca pihak lawan.

Gandingan Muslim Ahmad dan Fadli Shas seakan hilang fokus namun Hong Kong gagal untuk menggunakan kesempatan itu untuk memburu gol.

Di penghujung perlawanan, penyerang tinggi lampai Selangor Afiq Azmi hampir membuat jaringan namun tandukannya sedikit melewati palang gol.

Dollah Salleh berjanji anak didiknya akan bangkit semula dengan persiapan lebih mantap bagi mengharungi kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 pada 11 dan 16 Jun ini.

Beliau mengakui kecewa dengan persembahan hambar skuad tersebut selepas seri tanpa jaringan dengan Hong Kong pada perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A di Stadium Shah Alam, di sini malam Sabtu.

Mengulas perlawanan dengan Hong Kong, Dollah berkata penyerang skuad negara perlu melakukan sesuatu yang lebih baik untuk menjaringkan gol dan masalah ketumpulan barisan depan akan diperbaiki dalam sesi latihan sebelum pusingan kelayakan bermula minggu depan.

“Saya tidak dapat beri tumpuan kepada persiapan pasukan menghadapi perlawanan persahabatan ini kerana lebih terarah kepada pemilihan pemain sejak minggu lepas.

“Bagaimanapun, selepas ini kita perlu berlatih sebagai satu pasukan,” katanya.

ep2p-2