Safee Anggap Misi Tawan Semula 
Hati Peminat, Kehadiran Safiq Buat Dollah Lega

Safee Sali bersedia untuk membuat percubaan sewaktu sesi latihan KUALA LUMPUR – Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safee Sali menyifatkan perlawanan pembukaan kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia menentang Timor Leste esok adalah platform terbaik untuk skuad negara mengembalikan semula keyakinan peminat tempatan selepas kegagalan Harimau Muda dalam temasya Sukan SEA yang sedang berlangsung di Singapura.

Bagi Safee sudah menjadi lumrah pemain dalam skuad senior menerima tempias akibat kegagalan pasukan junior, oleh itu adalah penting untuk dia dan rakan-rakannya dalam Harimau Malaya membuktikan kemampuan sebenar mereka sekali gus memikat semula hati peminat tempatan.

“Saya sudah melalui berbagai kerenah serta mengalami sendiri keperitan itu namun tidak dapat dinafikan sudah menjadi lumrah kepada setiap pemain apabila pasukan junior gagal, mata akan beralih kepada skuad senior.

“Tetapi tidak mengapa sebab saya fikir ini adalah masa yang sesuai untuk membuktikan kepada peminat tempatan dengan mendapatkan tiga mata penuh pertama di halaman sendiri. Bagi saya secara tidak langsung ia juga menaikkan lagi semangat kepada setiap pemain untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Dalam pada itu, Safee tetap waspada dengan ancaman yang mampu diberikan oleh Timor Leste pada Khamis ini kerana tidak pernah melihat pasukan itu beraksi.

“Memang kita risau kepada pihak lawan dan prestasi kita sendiri, secara peribadi saya tidak tahu taktikal pasukan lawan malah jarang bertemu dengan mereka. Saya juga risau kepada prestasi saya sendiri dan juga rakan sepasukan pada hari perlawanan.

“Kami telah mengkaji corak permainan Timor Leste (menerusi rakaman video) dan saya fikir persiapan yang kami lakukan cukup untuk menewaskan mereka walaupun mereka mempunyai pemain naturalisasi,” katanya lagi.

Difahamkan Timor Leste mempunyai enam pemain asal luar yang telah mendapat kerakyatan, salah seorang adalah bekas pemain import Selangor, Juninho Aparacido.

“Ketika bertemu Hong Kong tempoh hari, apa yang disuruh oleh jurulatih (Dollah Salleh) berjaya kami terapkan dalam permainan dan bagi saya masalah keserasian tidak timbul sebab sebelum ini pun kami pernah bermain bersama cuma ada beberapa muka baharu sahaja. Bagi saya tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya.

Sementara itu Pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh lega kerana dia dapat menggunakan kembali khidmat pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Safiq Rahim apabila skuadnya memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia menentang Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Safiq terlepas perlawanan pemanas badan menentang Hong Kong pada minggu lalu kerana menerima kad kuning ketika bertemu Oman dalam perlawanan persahabatan pada 26 Mac lalu.

Kehadiran semula Safiq ke dalam kem latihan nyata melegakan Dollah yang memerlukan pemain yang bijak melorongkan bola kepada jentera serangan malah antara pakar sepakan bebas terbaik di rantau ini.

“Tidak dapat dinafikan dia (Safiq) kerap membantu jentera serangan skuad kita, malah pada masa sama dia juga berkebolehan bertindak sebagai penyerang. Jadi kehadiran pemain yang memiliki kaliber seperti dia amatlah diha­rapkan.

“Dalam setiap perlawanan saya lihat dia (Safiq) begitu bersemangat untuk mencari gol. Saya percaya dengan kemasukan Safiq mampu menyemarakkan lagi semangat rakan sepasukannya dan saya percaya dia membuatkan pasukan menjadi lebih mantap,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Dollah turut menjelaskan kecederaan yang dialami oleh penjaga gol Mohd. Farizal Marlias (lutut) serta pemain tengah Junior Eldstal (koyak tendon) kian pulih dan mereka berkemungkinan beraksi pada malam esok.

“Kalau nak diikutkan kecederaan Junior tidak begitu serius, dia boleh main cuma setiap kali selepas beraksi dia akan rasa sakit. Dia ada memberitahu saya bahawa dia tidak sabar untuk beraksi menentang Timor Leste dan semangat seperti ini yang saya mahukan.

“Farizal pula, semasa latihan saya lihat tiada masalah cuma dia berasa sakit setiap kali dia merebahkan badan. Tetapi ahli fisioterapi pasukan memberitahu buat masa sekarang dia tiada masalah,” katanya lagi.

Dollah turut memberitahu dia kini sedang menggandakan usahanya mencari kombinasi terbaik dalam membentuk kesebelasan utama menjelang perlawanan esok.

“Ini merupakan fasa terakhir kepada persiapan kami, jadi saya lebih tumpukan kepada latihan kesebelasan utama dan saya lihat banyak peningkatan yang dilakukan oleh pemain. Sekarang ini saya cuma perlu memastikan keserasian dalam kesebelasan utama dapat dibentuk dengan baik,” katanya lagi.

ep2p-2