Pemuda UMNO Johor Kecam Video Provokasi Gerakan Kristianiti

JOHOR BAHRU – Pemuda Umno Johor membantah sekeras-kerasnya tindakan penganjur persidangan agama, ‘MforJ2015 Take Possession of The Land Kingdom Conference’ yang menyebarkan video berdurasi satu minit 20 saat di laman sosial.Hahasrin Hashim - Ketua Pemuda UMNO Johor

 

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, video itu memaparkan ucapan paderi yang berbaur provokasi dan penghinaan kepada agama Islam sebagai agama rasmi negeri ini dan Malaysia secara amnya.

 

Menurutnya, tindakan menyebarkan video berkenaan dilihat sebagai cerminan sifat penganjur yang tidak bertoleransi terhadap majoriti masyarakat di negeri ini.

 

“Di Malaysia, toleransi beragama bersandarkan kepada Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang mana setiap warganegara Malaysia berhak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya, tetapi tertakluk kepada Fasal (4) yang mengehadkan pengembangan agamanya kepada orang-orang Islam.

 

“Pengehadan pengembangan agama lain kepada orang Islam turut dikuatkuasakan pada peringkat negeri Johor, di mana Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Johor 1991 (Enakmen No. 12/1991) memperuntukkan satu bidang kuasa kepada kerajaan negeri dalam menyekat sebarang usaha pengembangan agama kepada orang Islam di sini,” katanya.

 

Kata Hahasin, toleransi atau tasamuh adalah sifat yang disanjung tinggi oleh Islam sekali gus perbezaan agama bukanlah alasan untuk tidak berlaku adil serta bertoleransi.

 

“Video yang baru-baru ini ‘viral’ di media sosial telah meletakkan satu posisi provokasi dari pihak penganjur.

 

“Oleh itu Pemuda Umno Johor membantah sekeras-kerasnya tindakkan penganjur dengan penyebaran video provokasi seumpama ini. Ia dikhuatiri akan menimbulkan satu suasana keresahan masyarakat Islam di negeri ini,” katanya. – Sinar

Related




This entry was posted in Berita (Semasa), Terkini. Bookmark the permalink.

ep2p-5small