Nizar tetap jadi kesayangan DAP di Perak..

DAP yang telah mengumumkan putus hubungan dengan Pas dan mula menyingkir ahli Pas yang memegang jawatan dalam negeri pentadbiran pembangkang, hari ini cuba mempertahankan seorang ahli dewan undangan negeri Perak (Adun) Pas Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai ketua pembangkang di negeri itu.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi DAP negeri Nga Kor Ming yang mahukan Nizar kekal sebagai ketua pembangkang walaupun Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi wujud.

Nga berkata, DAP telah sebulat suara menyokong Nizar sebagai ketua pembangkang di negeri itu walaupun DAP sedar bahawa Nizar merupakan seorang ahli Pas.

Katanya, walaupun DAP telah memutuskan hubungan dengan Pas, DAP tetap menyokong dan memberi kerjasama untuk Nizar di negeri itu.

Tambahnya, Nizar bukan saja mendapat sokongan daripada pemimpin DAP, malah mendapat sokongan pemimpin PKR Perak untuk kekal sebagai ketua pembangkang.

“Nizar akan kekal sebagai ketua pembangkang walaupun PR tidak lagi wujud dalam negeri ini. Selain wakil daripada DAP, saya percaya Nizar juga memperoleh sokongan daripada 5 lagi Adun PKR,” kata Nga.

Nga yang mengulas lebih lanjut berkata, walaupun PR tidak lagi wujud, ianya bukan bermakna DAP dan Pas saling bermusuhan malah hubungan baik sebelum ini tetap diteruskan.

Nga berkata, beliau akan membuktikan bahawa DAP dan Pas masih mempunyai hubungan baik dengan menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Pas Perak kelak.

“Bagaimanapun, kami mempunyai hubungan kerja yang cemerlang dengan semua Adun Pas dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dilantik dalam DUN.

“Kami bukan musuh Pas atau pemimpinnya. Contohnya, kami akan pergi majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri mereka jika dijemput,” katanya. -Utaranews.com-

ep2p-2