Mahathir nak klonkan Suzuki Swift untuk lawan Perodua Myvi

Tun Dr Mahathir Mohamad yang sibuk mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini akui dirinya lalai sebagai Pengerusi Eksekutif Proton Holding Berhad untuk menaikkan keuntungan syarikat automotif tempatan itu.

Oleh itu, Mahathir telah berjanji akan kembali fokus kepada jawatannya sebagai Pengerusi demi menaikkan kembali keuntungan syarikat automotif tempatan itu yang sehingga kini masih tewas kepada syarikat keluaran Perodua.

“Saya kini bertanggungjawab, sebabnya saya kini Pengerusi Eksekutif. Saya akan jadikan ia sebagai suatu kenyataan,” kata Mahathir dalam sidang media di Pusat Kecemerlangan Proton.

Tambahnya, beliau terpaksa membawa Proton lebih agresif selepas syarikat Perodua telah melanggar masuk wilayah Proton dengan mengeluarkan kereta enjin berkapasiti lebih besar. 

“Perodua sepatutnya kekal dengan kapasiti enjin 660cc tetapi kini mereka masuk ke wilayah Proton. Pada masa itu OK… tetapi sekarang walaupun dua syarikat pengeluar kereta, pasaran kita daripada 80 peratus jadi 48 peratus,” katanya.

Mahathir berkata, demi memastikan Proton tidak tewas kepada Perodua pada masa akan datang, beliau telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan syarikat automotif Jepun, Suzuki Motor Corporation.

Dengan perjanjian itu, Proton bakal mengeluarkan klon kereta Suzuki ‘Swift’ untuk keluaran syarikat tempatan itu seperti yang dilakukan sebelum ini bersama Honda (Proton Perdana baru) dan Mitsubishi (Proton Inspira).

Katanya, keluaran ini bakal mengalahkan kereta model ‘Myvi’ keluaran Perodua yang kini tidak dapat ditewaskan oleh Proton melalui model terbarunya ‘Iriz’.

Mampukah Mahathir membawa Proton ke mata dunia sekaligus mengalahkan syarikat Perodua, selepas beberapa model keluaran Proton dibawah pentadbirannya seperti Juara, Tiara, Arena, Suprima, Savy dikritik hebat dan merugikan syarikat automotif tempatan itu? –AndyBolat/Utaranews.com-

ep2p-2