Mahathir kena sedar diri.. Jangan jadi punca kekalahan parti.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, hari ini memberi amaran kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak menjadi dalang kekalahan parti Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Rahman berkata, Mahathir perlu sedar disebabkan beliaulah prestasi Umno dan BN pada PRU 2008 amat mengecewakan selepas Mahathir melakukan serangan terbuka kepada perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Badawi.

Tambahnya, disebabkan serangan Mahathir terhadap Abdullah ketika itu, BN telah kehilangan majoriti besar di Parlimen yang dikuasi parti pembangkang.

“Jangan kita ulangi pengalaman pahit 2008 apabila serangan terbuka Dr Mahathir terhadap Pak Lah membawa kepada prestasi terburuk BN dalam PRU itu,” kata Rahman

Oleh demikian, beliau menggesa agar Mahathir tidak terus mengkritik perdana menteri bagi mengekalkan parti Umno dan BN untuk terus mentadbir negara pada PRU akan datang.

Katanya, Mahathir sebagai tokoh yang dihormati dan disegani di negara ini, perlu bijak menyelesaikan perselisihan faham ini secara profesional dan bukannya menyerang secara terbuka yang bakal membawa kemusnahan kepada parti Melayu itu sendiri.

“Sebarang perselisihan di antara ahli parti atau pemimpin tertinggi dalam Umno mesti diselesaikan melalui semangat kekeluargaan sebenar tanpa mencemuh dan menyindir satu sama lain secara terbuka yang hanya akan membawa kepada dakwaan fitnah dan tuduhan,” katanya.

Mahathir dalam satu kenyataannya hari ini telah mengakui bahawa krisis yang berlaku pada masa kini adalah disebabkan dirinya sejak menjadi perdana menteri. -Utaranews.com-

ep2p-2