Liga M kembali Buka Gelanggang, Perlawanan Kelantan Ditunda

jdt1LIGA Malaysia (Liga M) yang berehat seketika sebaik selesai aksi pusingan pertama pada 5 Mei lalu, kembali bersambung hari ini dengan saingan Liga Premier membuka gelanggang.

Enam perlawanan Liga Premier akan berlangsung malam ini dan sepak mula bermula pada pukul 10 malam selepas umat Islam selesai menunaikan solat tarawih.

Walaupun ramai yang mempertikaikan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan saingan liga sepanjang bulan Ramadan ini, namun ia tetap diteruskan bagi memastikan semua perlawanan liga selesai sepenuhnya dalam masa yang telah ditetapkan.

Selain saingan Liga Premier, kempen Liga Super juga diteruskan esok membabitkan lima perlawanan kecuali perlawanan antara Kelantan menentang Sime Darby. Ia ditunda ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Semua aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu dibatalkan kerana stadium tersebut akan digunakan untuk program Madinah Ramadan.

Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini telah meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mencari stadium lain jika mahu meneruskan saingan liga di Kota Bharu.

Begitupun, KAFA telah memohon kepada FAM agar semua perlawanan yang berlangsung di Kota Bharu ditunda ke tarikh lain.

Selepas selesai 10 perlawanan pusingan pertama, Pahang kini menerajui carta Liga Super dengan 20 mata, diikuti Johor Darul Takzim (Johor DT) 18 mata.

Kempen Liga Premier pula menyaksikan T-Team unggul selaku pendahulu dengan 23 mata, diikuti Kedah yang sudah mengumpul 21 mata.

Hari ini, T-Team akan turun membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur di Stadium Inspen, Bangi.

– Kosmo

ep2p-2