Liga Hoki Dunia: Misi wajib Menang Ke Atas Ireland

SKUADbimbingan Tai Beng Hei (tengah) memikul tugas berat untuk KUALA LUMPUR – Skuad hoki kebangsaan tiada pilihan lain selain perlu mendapatkan kemenangan ke atas Ireland pada aksi kedua Kumpulan B Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium, Khamis ini andai mahu terus menghidupkan peluang mendapatkan slot automatik ke Sukan Olimpik 2016.

Ireland yang ketika ini menghuni ranking ke-14 dunia adalah calon realistik untuk dikalahkan oleh Malaysia selepas China berbanding dua lagi pasukan dalam kumpulan sama iaitu Belgium (No.4) dan Britain (No.5).

Sekiranya Malaysia yang ketika ini berada di kedudukan ke-12 dunia berjaya meraih kemenangan ke atas Ireland, maka tempat untuk ke saingan suku akhir iaitu tiga terbaik daripada dua kumpulan pasti cerah milik skuad kebangsaan sekali gus selangkah ke Sukan Olimpik 2016.

Malaysia perlu menamatkan saingan kejohanan tersebut sekurang-kurangnya di tempat keempat atau mara ke saingan separuh akhir andai mahu menamatkan kemarau lebih 10 tahun tidak beraksi pada Sukan Olimpik.

Pemain tengah skuad hoki kebangsaan, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah berkata, kemenangan ke atas Ireland akan mengukuhkan peluang pasukan untuk ke saingan suku akhir tetapi dalam masa sama perlu berwaspada dengan ancaman lawan.

“Ireland mempunyai beberapa pemain yang hebat dan corak permainan mereka juga amat pantas sekali gus memerlukan pasukan lebih berhati-hati.

“Bagi saya ini adalah perlawanan yang cukup penting bagi membolehkan pasukan melangkah ke saingan suku akhir andai menang ke atas Ireland,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah pada Sukan Olimpik Sydney 2000 dan terlepas peluang untuk mendapatkan slot automatik menerusi Sukan Asia 2010 selepas sekadar meraih pingat perak.

Malah, Ireland juga sebelum ini pernah menjadi pemusnah misi skuad hoki negara untuk ke Sukan Olimpik 2012 pada kempen kelayakan di Dublin tiga tahun lalu yang menyaksikan pasukan lawan berjaya mengikat Malaysia 1-1 sekali gus meranapkan impian ke saingan akhir.

Sementara itu, Shahrun Nabil turut memberitahu dirinya akan mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terikut dengan rentak permainan Ireland.

“Lawan pastinya mahu memperdaya kita dengan corak permainan mereka dan saya harap kami dapat mengatasinya dengan baik. Dalam masa sama kita juga perlu berwaspada dengan pasukan Ireland yang mempunyai beberapa set play yang baik,” kata Shahrun Nabil.

– Utusan

ep2p-2