Konsert Sekerat Jalan, Mamat Kecewa Dituduh Berhutang

Kuala Lumpur: “Isu tidak membayar pembekal peralatan konsert itu bukan salah syarikat saya. Ia adalah kesalahan satu lagi syarikat penganjur sebab konsert jelajah itu adalah projek usaha sama.”

Itu penjelasan penyampai radio Ultra FM dan pelawak Mamat Sepah yang kesal apabila dituduh berhutang bayaran peralatan berjumlah RM120,000 kepada satu pembekal sehingga mengakibatkan Konsert Lagenda (Jelajah Rock) di Kuching, Sarawak Ahad lalu dibatalkan pihak itu ketika acara sedang berlangsung.

Mamat yang dihubungi tidak menafikan kejadian itu dan bersedia memberi penjelasan sebenar walaupun isu kegagalan membayar kos beberapa peralatan konsert itu berpunca daripada teman penganjurnya.

“Memang betul kejadian itu berlaku, tapi ia bukan kesalahan syarikat saya. Untuk pengetahuan, acara itu dianjurkan dua syarikat antara saya, Idearts Creativo dan satu pihak lagi yang tidak dapat saya dedahkan di sini.

“Bahagian saya bertanggungjawab menguruskan bayaran artis untuk persembahan dan semuanya sudah selesai serta tiada masalah. Bayaran peralatan itu dilakukan penganjur satu lagi. Bila jadi kekecohan itu, tidak pasal-pasal saya dituduh macam-macam padahal saya pun turut menjadi mangsa,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan sebilangan besar penggemar muzik rock di Kuching, Sarawak pulang dengan hampa semalam apabila Konsert Lagenda Jelajah Rock yang diadakan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching yang dijangka berlangsung selama tiga jam hanya berjaya berlangsung selama satu jam sahaja.

Difahamkan, perkara tersebut berlaku kerana pihak penganjur, Ideart Creativo yang telah berjanji kepada kontraktor sejak dua minggu lalu untuk membayar wang pendahuluan sebanyak RM120,000 untuk urusan pemasangan sistem audio, sistem pencahayaan dan pentas gagal melunaskan pembayaran tersebut.

Biarpun sehingga sebelum persembahan dimulakan, pembayaran tersebut belum dijelaskan, pihak kontraktor masih bertimbang rasa kepada penganjur serta penonton yang hadir dan memberikan masa selama satu jam persembahan namun penganjur masih gagal untuk mendapatkan wang pembayaran berkenaan.

Dalam masa satu jam tersebut, hanya tiga artis iaitu Man Kidal, Mus May dan Awie membuat persembahan manakala Ella dan Datuk Ramli Sarip tidak sempat mengadakan persembahan. Menurut sumber kontraktor yang enggan identititinya didedahkan, kegagalan membayar wang pendahuluan sebanyak RM120,000 sepertimana yang telah dijanjikan oleh penganjur telah menyebabkan mereka tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali membatalkan persembahan dengan menutup semua sistem yang digunakan.

Difahamkan, tiket konsert telah dijual dengan harga RM55 dan lebih dari 300 orang yang hadir pada konsert tersebut. Kejadian ini amat menghampakan peminat-peminat muzik rock di Kuching dan difahamkan pihak kontraktor juga akan membuat laporan polis berhubung kejadian ini.

Selepas di Kuching, Konsert Lagenda akan bergerak ke Stadium Miri, Miri menjelang 6 Jun nanti. Berehat seketika demi menghormati kedatangan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, perjalanan konsert kemudian diteruskan ke Semenanjung Malaysia dengan dengan pemilihan Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Pasir Gudang, Johor sebagai lokasi konsert pada 30 Ogos depan.

Jelajah konsert yang turut mendapat kerjasama daripada Park Lane Group of Company (PLG) itu kemudiannya turun ke Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang pada 13 September nanti.

Sebelum mengakhiri sesi jelajah yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada 17 Oktober depan, lima otai rock Malaysia terbabit akan menemui peminat di utara tanah air pada 10 Oktober bertempat di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, Perak.

ep2p-5small