Kelab Indonesia Persipura Jayapura Dibubarkan

Jurulatih pasukan Persipura Jayapura, Osvaldo Lessa amat kecewa dengan keputusan untuk membubarkan pasukannya berikutan kontroversi yang melibatkan skuad tanah air Pahang FA.

Menurut laporan, Lessa mendedahkan bahawa pihaknya sedang berunding dengan pengurusan pasukan bola sepak tersebut dan akan pulang ke tanah airnya.

“Saya merasa sedih. Sebab kami masih terus melakukan latihan, tiba-tiba pengurusan mengatakan ‘stop’ (dibubarkan). Ya saya menerima saja dengan apa yang berlaku,” katanya.

Skuad Persipura, sering dikenali sebagai Mutiara Hitam dijadualkan bertemu Pahang FA dalam aksi pusingan kedua Piala AFC pada 26 Mei lepas, namun perlawanan itu dibatalkan setelah tiga pemain import Pahang tidak dibenarkan memasuki negara itu alasan visa gagal.

Akibat masalah itu, skuad Pahang terpaksa menunggu lebih 10 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta tanpa sebarang bantuan dari Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), skuad itu kemudiannya membuat keputusan berpatah balik ke Malaysia.

Antara tiga pemain import Pahang FA yang tertahan ialah Damion Stewart (Jamaica), Matias Conti (Argentina) dan Dickson Nwakaeme (Nigeria).

Selain itu, pembubaran Persipura juga disebabkan oleh tindakan penggantungan PSSI oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

PSSI sebelum itu telah dibekukan oleh Kementerian Pemuda dan Olahraga atas alasan untuk memperbaiki segala kelemahan pengurusan.

Bagaimanapun, tindakan berkenaan mendapat perhatian FIFA yang mengeluarkan amaran untuk menggantung PSSI jika kerajaan Indonesia tidak menarik semula pembekuan itu kerana persatuan bola sepak hendaklah bebas dari campur tangan kerajaan.

Disebabkan kerajaan Indonesia enggan menarik balik pembekuan itu, FIFA pada dua hari lepas mengumumkan PSSI digantung dari keanggotaan badan antarabangsa itu dan tidak boleh beraksi dalam sebarang perlawanan di luar negara termasuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018.

Bagaimanapun arahan itu terkecuali untuk penyertaan skuad Indonesia dalam Sukan SEA yang sedang berlangsung di Singapura.

Dengan pembubaran ini pasukan Pahang secara automatik layak ke pusingan suku akhir Piala AFC.

ep2p-5small