Kakitangan awam akan dipotong gaji bayar PTPTN.

Bagi mendapatkan kembali wang pinjaman yang diberikan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) kepada peminjam, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan kerajaan mewajibkan potongan gaji kepada kakitangan awam yang berdegil membayar balik pinjaman itu.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kerajaan terpaksa menggunakan kaedah terbabit bagi memberi peluang kepada generasi muda yang mahu melanjutkan pelajaran.

Katanya, peminjam yang sedia ada mampu untuk membayar balik pinjaman tersebut, tetapi disebabkan peraturan yang dikenakan tidak ketat mereka mengambil peluang untuk mengelak dari membayar hutang.

“Ini isu serius kerana membabitkan masa depan generasi baharu, terutama golongan berpendapatan rendah yang mahu melanjutkan pelajaran menggunakan PTPTN.

“Mungkin penjawat awam yang liat untuk bayar balik pinjaman itu terlupa kerana kesibukan bekerja selain mengambil mudah kewajipan membayar hutang,” kata Azih.

Cadang itu turut dipersetujui Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dengan menambah cadangan agar tindakan tatatertib dikenakan terhadap penjawat awam yang berdegil membayar balik pinjaman tersebut.

Katanya, penjawat awam yang enggan membayar balik pinjaman perlu menyegerakan bayaran balik bagi membolehkan generasi baru menggunakan perkhidmatan yang diberikan kerajaan itu.

Katanya, kerajaan telah banyak membantu dengan mengurangkan kadar bayaran balik yang dikenakan kepada peminjam, oleh itu, peminjam yang bekerja di sektor awam perlulah menunaikan kewajipan membayar balik pinjaman tersebut.

“Bagi saya peminjam yang tidak membayar balik mengkhianati perjanjian dan menafikan hak pelajar lain mendapatkan pinjaman yang sama kerana kita sedia maklum, jumlah pinjaman PTPTN kini dikurangkan kerana ramai yang tidak membayar balik,” kata Khairy dalam satu kenyataan.-Utaranews,com-

ep2p-2