BARCELONA: Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menandatangani perjanjian hak pemilikan imej dirinya selama enam tahun dengan Media Mint, sebuah syarikat milik usahawan Singapura, Peter Lim.

Perkembangan itu sekali gus menandakan satu lagi langkah Lim dalam dunia bola sepak selepas membeli kelab Sepanyol, Valencia, selain menjadi sebahagian pemilik kelab Salford City bersama bekas pemain Manchester United `Kelas 1992′.

Selain itu, dia juga memiliki perniagaan berkaitan dengan bola sepak menerusi anak syarikatnya yang lain.


Menerusi itu perjanjian itu, Lim mengambil alih hak pemilikan imej pemain terbaik dunia daripada Portugal itu kecuali dimiliki Real Madrid, sekali gus meletakkan dia kini dalam kancah pemasaran sukan.

“Peter mempunyai nilai dan rangkaian perniagaan yang ekstensif. Saya sentiasa memandang tinggi dengan kepintaran keusahawanannya dan kebolehan mengembangkan perniagaan,” kata Ronaldo dalam kenyataannya.

“Dia seorang rakan baik yang saya kenali sejak dulu. Saya percaya dia akan menjadi rakan kongsi dan mampu menambah baik nilai pada jenama saya,”. – REUTERS