Akui Perlawanan Paling Mudah, Jurulatih Palestin Cadangkan Harimau Malaya Dirombak

KUALA LUMPUR: Selepas anak buahnya mengganyang Malaysia 6-0 dalam pelawanan kelayakan Piala Dunia 2018 malam tadi, jurulatih pasukan dari bumi yang dilanda perang, Palestin, Abdel Nasser Barakat memberi suatu nasihat yang sungguh menyengat kepada Persatuan Bolasepak (FAM).

Pasukan kebangsaan Malaysia perlu dirombak!

Sama ada nasihat atau sindiran, ada benarnya apa yang dikatakan oleh jurulatih Palestin, Abdel Nasser Barakat mengenai skuad Harimau Malaya.

Bekas jurulatih pasukan Bawah 23 Tahun Palestin itu, yang amat terkejut dengan persembahan hambar Malaysia, menasihati Malaysia supaya mencontohi cara Palestin membentuk pasukan yang kuat untuk masa akan datang dengan menggunakan tenaga pemain muda berbakat besar.

“Saya berpendapat mereka (FAM) patut melakukan seperti yang dilakukan pasukan kebangsaan Palestin…kami tukar kebanyakan pemain.

“Saya tahu ada begitu banyak pemain muda yang hebat, tetapi Malaysia juga perlu mengambil langkah serupa.

“Kami membuang begitu banyak pemain dan menggantikan mereka dengan pemain muda. Bagaimanapun, saya mendoakan mereka berjaya pada masa akan datang.

“Memanglah kami ingin menang perlawanan ini, tetapi kami terkejut kerana kemenangan yang dicapai begitu besar dan kami tidak menjangka mereka (Malaysia) akan berputus asa serta tidak berusaha untuk bermain dengan lebih bersemangat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa malam.

Sambil mengakui, bahawa pasukannya meraih kemenangan mudah dalam perlawanan menentang Malaysia, katanya matlamat untuk membina skuad masa depan negaranya seperti mula membuahkan hasil.

“Ini perlawanan paling mudah untuk kami sebab kami mampu menyumbat tiga gol pada separuh masa. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami masih baharu kerana pemain sedia ada ini jauh lebih muda dan mereka masih memerlukan pengalaman serta pendedahan.

“Bagus untuk kami sebab menang 6-0 walaupun pemain kami belum cukup pengalaman. Kami kehilangan beberapa pemain terbaik, antara empat hingga lima orang kerana mereka cedera. Kami juga tidak memiliki bajet besar untuk membina pasukan dan saya fikir semua orang pun tahu satu lagi fakta mengenai kami (negara bergolak),” katanya lagi.

ep2p-5small