Tiga Pemain Dinilai Sebagai Kapten Harimau Muda

KUALA LUMPUR – Gary Steve Robbat, Mohamad Fandi Othman dan Mohamad Amer Saidin masing-masing berada dalam fikiran pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee bagi menggalas tugas kapten pada Sukan SEA di Singapura, bulan depan.

Kata pengendali berusia 45 tahun itu, setakat ini beliau masih ‘keliru’ untuk memilih siapa daripada tiga pemain tersebut yang layak menyarung lilitan kapten.

Bagaimanapun jelasnya, perkara tersebut akan diumumkan sejurus selepas beliau mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan.

“Buat masa ini saya telah me­lantik tiga pemain untuk dijadikan ketua pasukan dan saya tidak pasti siapa yang akan menjadi kapten.

“Saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu terutama pengurus pasukan, Datuk Seri Affandi Hamzah bagi menentukan siapa kapten dan penolongnya.

“Setakat ini Gary, Fandi dan Amer Saidin diberikan tugas untuk menjadi ketua pasukan,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Kelana Jaya, semalam.

Sesi latihan fasa akhir skuad B-23 negara sudah bermula Ahad lepas hingga 26 Mei ini, sebelum Kim Swee mengumumkan senarai akhir 20 pemain yang akan menggalas cabaran negara pada temasya dwitahunan itu.

Sepanjang sesi latihan itu, skuad B-23 negara akan beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan iaitu berdepan pasukan Liga Perdana, Sabah pada 15 Mei ini di Kota Kinabalu dan dua aksi bertemu negara serantau.

Mengulas mengenai aksi persahabatan dengan Indonesia, Kim Swee berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas mengenai venue perlawanan.

“Kemungkinan kita akan beraksi di Indonesia. Saya beri masa sehingga esok (hari ini) atau hujung minggu ini bagi menentukan lokasi perlawanan dan kalau tidak, kita akan bersaing dengan pasukan lain.

“Ia terpulang kepada mana-mana pasukan yang boleh bermain dengan kita mengikut tarikh yang sudah ditetapkan.

“Kalau tak dapat pasukan Asia Tenggara, kita akan cari satu kelab dari luar negara yang mempunyai reputasi untuk bermain dengan kita,” katanya.

ep2p-5small