Seronok Sungguh DAP, “Syaitan Dalam Jemaah” Serang Hadi…

Menjelang pemilihan PAS pada awal Jun ini, makin galak pula DAP menyerang Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaikan bermati-matian mahu beliau disingkirkan dari terus menjawat jawatan nombor satu dalam PAS.

Kita dapat melihat betapa komitednya para pemimpin DAP menyerang Abdul Hadi di laman-laman portal pro-Pakatan Rakyat seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan beberapa lagi laman web politik radikal di negara ini.

Dituduh sebagai “pengkhianat bersiri”, “seorang yang tidak punya maruah” dan pelbagai lagi kecaman dilontarkan DAP pada Presiden PAS itu yang pernah “meminjamkan” jentera partinya dan menyuruh ahli serta penyokongnya mengundi DAP pada PRU ke-12 dan ke-13 yang lalu.

Berbuat baiklah sebaik mana sekalipun, itulah “harga pasaran” Abdul Hadi yang terkini pada pandangan DAP. Begitu “murah” dan “hina” Presiden PAS itu di mata DAP…

Terkini, prestasi Abdul Hadi dibandingkan pula dengan bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, dan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Abdul Hadi dikatakan gagal sama sekali menyaingi kegemilangan tokoh-tokoh tersebut.

Hasil serangan tersebut, maka seronoklah golongan yang digelar “jebon” di dalam PAS. “Jebon-jebon” berkenaan yang sememangnya mahu menjatuhkan Abdul Hadi dan kepimpinan ulama di dalam PAS bersorak sakan dengan serangan-serangan bertali arus itu.

Mungkin pada “syaitan dalam jemaah” di dalam PAS, menjatuhkan Abdul Hadi adalah satu “jihad” yang perlu dilakukan demi mencapai kuasa politik negara. Sedangkan mereka lupa pada perjuangan sebenar PAS yang mahu melihat syiar Islam di Malaysia berbanding kuasa duniawi.

Secara peribadi, penulis melihat serangan-serangan itu menjelaskan betapa teruk dan kurangnya kualiti di dalam PAS di zaman ini. PAS membuka ruang pada golongan bukan ulama, tapi mereka menyuntik doktrin kuasa politik melebihi keutamaan kepada perjuangan Islam yang sebenar.

Penulis masih ingat lagi kenyataan Abdul Hadi sebelum ini yang menegaskan bahawa PAS hanya mencari keredhaan Allah dalam perjuangan sebagai parti politik. Katanya, biar kalah pilihanraya sekalipun, asalkan Islam itu tertegak di bumi Malaysia ini.

Pun begitu, mungkin golongan bukan ulama gagal mentafsirkan prinsip sebenar PAS yang dikatakan Abdul Hadi itu, lantas mereka menuduh beliau sebagai “buta politik” dan “bodoh”. Penulis tidak dapat menerima tuduhan tersebut kerana Abdul Hadi bukannya calang-calang pemimpin dan beliau adalah Timbalan Presiden Persatuan Ulama Dunia yang tentunya hebat dalam fahaman agamanya, bukan?

Penulis faham, bagi mengaburi mata orang ramai khususnya ahli PAS, golongan bukan ulama sengaja “menjolok” Ustaz Ahmad Awang untuk dijadikan calon Presiden PAS. Kononnya, mereka masih mahu mengekalkan “kepimpinan ulama” di dalam parti itu.

Soalnya, apakah semua perwakilan PAS akan tertipu dengan helah mereka itu? Pada pengamatan penulis, ekoran pendirian Ahmad Awang yang berhubung karib dengan PasMa dan lebih condong NGO yang menjadi “anak emas” DAP dan PKR itu, maka jelaslah beliau hanya bakal menjadi Presiden “Boneka” saja nanti sekiranya berjaya mengalahkan Abdul Hadi.

Penulis yakin, dengan konsep “matlamat menghalalkan cara” golongan tersebut, mereka rela mengorbankan prinsip perjuangan Islam dan maqasid syariah asalkan matlamat menguasai politik negara bersama DAP dan PKR terlaksana.

Sedangkan mereka tidak sedar dan seolah lupa dengan tamrin, tarbiyyah dan pelajaran usrah di dalam PAS sebelum ini yang menolak konsep “bertuhankan politik” serta perlu menekan pengimarahan Islam di dalam perjuangan parti berkenaan.

Apapun, kita nantikan pada 4 Jun nanti. Muktamar kali ini akan menyaksikan sama ada PAS akan mundur ke belakang dalam perjuangan mereka atau akan tetap dengan prinsip asal perjuangan tradisi membina sebuah negara Islam yang cemerlang sebagai sebuah parti pembangkang yang sihat.

Bukan apa, penulis melihat PAS semakin parah dan nazak setelah bergabung dengan DAP dan PKR sejak tahun 2008. Banyak dasar PAS yang dihapuskan dua rakan sekutunya itu. Sedangkan PAS sebelum ini merupakan sebuah parti pembangkang yang “sihat” dan konsisten “menasihati” Kerajaan Barisan Nasional, khususnya dalam masalahat agama Islam.

Justeru itu, sebagai pemerhati perkembangan politik PAS sejak dari zaman kepimpinan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, penulis mendoakan agar keputusan pemilihan PAS kali ini memihak pada mereka yang mendokong perjuangan asal parti itu. Itupun kalau mahu lihat PAS “hidup” kembalilah, kan? Wallahu’alam. –Amir Hamzah/Utaranews.com

ep2p-2