Saya masih boleh bermain – Rozaimi

JURULATIH skuad bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee (kanan) memberi PETALING JAYA – Kehadiran penyerang muda, Mohd. Rozaimi Abd. Rahman di persada bola sepak tempatan seolah dilupakan sejak dilanda kece­deraan buku lali musim lalu, yang memaksanya berehat setengah musim.

Sepanjang saingan Liga Malaysia 2015, kelibatnya bersama Sabah seakan-akan tidak timbul ekoran gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Malah, dia juga jarang diberi peluang beraksi selaku gantian, sekali gus menjejaskan tahap kecergasan dan keyakinan untuk beraksi di atas padang.

Situasi itu jelas memberi impak kepada Rozaimi yang dipanggil menjalani latihan bersama skuad Bawah 23 tahun untuk ke Sukan SEA Singapura, hujung bulan ini.

Persembahan yang dipamer dalam perlawanan persahabatan berdepan Real Mulia kelmarin mencetuskan spekulasi bahawa namanya berada dalam senarai yang tidak akan dibawa ke Si­ngapura.

Justeru apabila skuad Bawah 23 tahun menentang Sabah pada Jumaat ini, Rozaimi berharap mahu membuktikan kepada semua pihak, terutama majikannya yang dia sebenarnya masih boleh bermain sambil mahu mengambil cabaran yang dilontarkan pengendali, Datuk Ong Kim Swee.

“Semenjak mendapat kecede­raan, saya akui memang susah hendak dapat rentak seperti dulu.

“Bukan sesuatu yang mudah dengan situasi sekarang apabila saya jarang bermain bersama pa­sukan negeri dan sekadar duduk di bangku simpanan.

“Jurulatih (Mike Mulvey) ada be­ritahu saya memang susah mahu mendapat tempat kerana sudah ada tiga pemain import di bahagian serangan dan cubaan saya untuk bermain di posisi-posisi lain pun tidak berhasil.

“Jadi, jika saya diturunkan bersama skuad ini (Bawah 23 negara) apabila berdepan Sabah pada perlawanan persahabatan nanti, saya akan tunjukkan kepada mereka yang saya sebenarnya boleh bermain,” katanya kepada pemberita selepas latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kim Swee sebelum ini memberikan amaran kepada pemain-pemain senior dalam pasukan agar mempertajamkan kembali prestasi atau melihat mereka digugurkan walaupun mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa berbanding pemain-pemain dari skuad Harimau Muda B.

Ketegasan itu terus disuarakan olehnya sambil menjelaskan tiada tempat automatik kepada mana-mana pemain biarpun mereka mempunyai reputasi atau nama lebih besar di dalam pasukan.

“Melalui rekod, saya tidak pernah memikirkan nama seseorang pemain itu sebagai kunci kepada kejayaan sesebuah pasukan.

“Dalam bola sepak, kerjasama merupakan satu perkara cukup penting dan bukannya individu, jadi tiada jalan automatik mereka akan dipilih.

“Prestasi hambar yang dipertunjukkan oleh beberapa pemain seperti Rozaimi, Gary Steven Robbat dan Ferris Danial bukan perkara yang memeranjatkan saya kerana mereka jarang bermain secara kompetitif bersama kelab yang diwakili.

“Jadi dengan masa yang ada, mereka kena ambil peluang dan belajar daripada situasi ini, semuanya terpulang kepada diri mereka sendiri untuk buktikan diri mereka dalam dua lagi aksi persahabatan yang tinggal,” kata Kim Swee.

Pasukan Bawah 23 tahun negara akan berangkat ke Kota Kinabalu hari ini dan bakal berentap dengan Sabah, Jumaat ini di Stadium Bola Sepak Likas .

Satu lagi perlawanan persahabatan yang akan diharungi anak-anak buah Kim Swee ialah bertemu skuad Bawah 23 tahun Indonesia pada 21 Mei.

ep2p-5small