Pengalaman Nazmi jadi aset Harimau muda

MOHD. NAZMI FAIZ MANSOR (dua kanan) menjalani latihan bersama PETALING JAYA – Bakal beraksi buat kali ketiga pada Sukan SEA dan masih berpeluang beraksi di temasya yang sama dua tahun lagi, pengalaman luas yang ada pada Mohd. Nazmi Faiz Mansor akan menjadi sandaran Ketua Jurulatih skuad Bawah 23 tahun, Datuk Ong Kim Swee.

Bukan sekadar menjadi watak penting skuad Sukan SEA, Kim Swee berharap kebanyakan pemain muda dalam pasukan menjadikan pemain Selangor ini sebagai idola mereka.

Mempunyai skil dan gaya permainan tersendiri di bahagian tengah, Nazmi yang pernah diban­dingkan dengan bekas pemain 90-an, Azizol Abu Hanifah, pasti akan menjadi salah satu pemain penting sepanjang perjuangan skuad bawah 23 di Singapura.

“Seperti kita tahu mengenai Nazmi, dia mempunyai pengalaman yang cukup luas dan bukan sahaja telah beraksi di Sukan SEA.

“Namun, di Sukan Asia, saya harap akan ada pemain-pemain lain menjadikan dia sebagai satu contoh atau idola.

“Dia bukan sahaja berpeluang mewakili negara buat kali ketiga tetapi pada Sukan SEA akan datang, jadi melalui apa yang dia ada, saya harap dia mampu membimbing pemain-pemain lain.

“Bagi pemain-pemain muda, saya harap mereka semua satu hari nanti mampu mengikut jejak langkah Nazmi dan merebut segala peluang yang ada bagi mempertingkatkan karier mereka,” katanya pada sesi latihan skuad Sukan SEA 2015 di Wisma FAM, semalam.

Pertama kali terpilih mewakili skuad Sukan SEA pada 2011 di Indonesia pada usia 17 tahun, Nazmi terus menjadi watak penting pada Sukan SEA Myanmar, dua tahun lalu.

Seperti dijangka, dia berada dalam senarai 30 pemain awal yang didaftarkan oleh Kim Swee.

Dijangka kemungkinan besar dibawa selaku 20 pemain terakhir ke Singapura, Nazmi umpama enjin penting di bahagian tengah skuad negara di samping kehadiran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Gary Steven Robbat.

Dalam hal berlainan, Kim Swee nyata tidak merasai sebarang tekanan melihat kejayaan seteru utama mereka dalam Kumpulan B, Vietnam yang berjaya mengikat skuad Korea Selatan Bawah 22 me­lalui keputusan seri tanpa jaringan, Sabtu lepas.

“Kita tahu mereka (Vietnam) ini melakukan persiapan lebih awal berbanding kita dan saya difahamkan mereka menurunkan pemain-pemain yang bermain di pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun tempoh hari di tempat kita.

“Jadi, keputusan seri berdepan Korea Selatan memang sesuatu yang baik buat mereka tetapi dalam masa sama kita kena meneliti apa yang mereka lakukan memandang­kan mereka saya lihat merupakan pencabar utama kita jika mahu la­yak ke separuh akhir, ” katanya.

Setelah menjalani latihan bersama selama seminggu, skuad Bawah 23 tahun negara lulus cemerlang menghadapi ujian pertama dengan menentang kelab Liga FAM, Real Mulia di Stadium Maybank, Bangi, petang tadi dengan jaringan 4-1.

Selepas ini, mereka akan berangkat ke Kota Kinabalu pada Rabu ini untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Sabah pada 13 Mei.

Skuad Kim Swee melengkapkan aksi sebelum ke Sukan SEA dengan bertemu skuad Bawah 23 tahun Indonesia pada 21 Mei.

ep2p-2