Najib lebih husnuzon terhadap Hudud PAS berbanding Mahathir.

Tidak dapat dinafikan bahawa PAS secara turun temurun mahu melaksanakan hukum hudud. Kita juga maklum mengenai hukum Allah itu yang dipergunakan PAS pada setiap kali musim pilihanraya untuk memancing undi rakyat dari golongan umat Islam.

Sejak berjaya merampas Kelantan pada tahun 1990 dan berjaya kekal di negeri itu hingga kini. PAS juga berjaya merampas Terengganu sebentar pada tahun 1999 dan hanya mampu kekal sepanggal di negeri itu.

Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu yang masing-masing di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah beberapa kali mengajukan draf hudud pada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, usaha PAS untuk melaksanakan hudud ketika itu gagal secara total kerana Tun M mengambil pendekatan yang keras terhadap perlaksaan kanun jenayah syariah Islam itu kerana draf yang dikemukakan itu bersifat tidak adil pada pandangan beliau.

Hasilnya dari penolakan keras terhadap draf-draf hudud berkenaan, UMNO makin teruk dituduh sebagai tidak Islamik, menolak hukum Allah, sesat dan ada pula yang menuduh UMNO sebagai kafir. Ia mencetus kontroversi di kalangan umat Islam dan UMNO dipandang serong masyarakat Islam ketika itu.

Dikatakan kerana pendekatan Tun M yang keras menolak hukum hudud yang dkemukakan PAS itulah maka Terengganu berjaya dirampas PAS pada tahun 1999 dan kerajaan pimpinan Tun M berjaya diselamatkan oleh masyarakat Cina yang sebulat suara menyokong BN kerana hudud ditolak.

Kira-kira mudah, kerana cara keras Tun M menolak hudud, umat Islam Terengganu menolak BN, sebaliknya orang Cina yang memandang negatif pada hukum hudud itu sudah tentulah akan menyokong BN, bukan?

Walau bagaimanapun, penulis agak terkilan dengan pendekatan Tun M ketika itu terhadap hukum hudud. Penulis tidak tahu mengapa pandangan Tun M terhadap hudud begitu keras sekali sedangkan ia merupakan aturan dan ketetapan hukum dari Allah.

Kini bila Najib menjadi Presiden dan Perdana Menteri, lain pula episodnya. Pendekatan Najib jelas berbeza. Mungkin Najib sedar bahawa hudud merupakan undang-undang Allah, maka beliau memandang positif usaha Kerajaan PAS negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum berkenaan.

Najib membuka luas pintu kepada Kerajaan PAS Kelantan untuk kepentingan hudud. Bukan saja menyediakan platform menerusi JAKIM untuk berbincang, meneliti dan mengkaji hukum Allah itu. Malah usul PAS untuk membentang hudud di Parlimen pun tidak dihalang langsung seperti sebelum ini.

Pada pandangan penulis, biar tidak lengkap, tidak adil atau lemah sekali pun draf hudud yang dibentang PAS itu, sewajarnya ia tidak ditolak mentah-mentah sebagaimana yang dilakukan Tun M. Menolak cara begitu bagai menutup terus pintu kepada perlaksanaan hukum Allah tersebut.

Wajarkah seorang pemimpin beragama Islam, sebuah negara Islam dan sebuah kerajaan Islam berbuat demikian? Pada penulis, mungkin kerana ‘dosa’ itulah maka UMNO dikecam teruk dulu dan dikafirkan sesuka hati oleh golongan ekstrimis PAS.

Mungkin PAS masih cetek dan terbatas ilmu serta kefahaman mereka dalam membuat draf hudud berkenaan hingga kelihatan tidak adil dan zalim. Namun sekiranya diteliti sewajarnya, mungkin ia boleh dikemas kini, diperbaiki dan dikaji hingga relevan untuk dilaksanakan, bukan?

Dengan menyediakan plaform untuk mengkaji kemungkinan melaksanakan hudud adalah satu langkah positif dari Najib. Satu tindakan yang pada penulis mungkin tidak akan dilakukan Tun M selagi beliau berkuasa di Malaysia.

Apatah lagi hudud berkenaan sekiranya dilaksanakan sekali pun, ia hanya melibatkan hukuman jenayah syariah di negeri Kelantan sahaja dan hanya melibatkan umat Islam sahaja, bukan? Jadi, negeri lain dan golongan bukan Islam tidak perlu takut, malah akan melihat bagaimana ‘pilot case’ hudud di Kelantan itu nanti, bukan?

Jelas sekali, perbezaan pendekatan terhadap kepentingan Islam oleh Tun M dan Najib. Tun M menggunakan kuasa secara keras seolah undang-undang yang cuba dilaksana itu datangnya dari Kristian, manakala Najib pula melihat hukum Allah itu dari sudut pandangan Islam moderate yang mengamalkan konsep wasatiyyah dalam menuju matlamat maqasid syariah.

Justeru itu, penulis yakin bahawa tidak perlu dijelaskan lagi perbezaan antara Tun M dan Najib. Rasanya kita sendiri tahu pendekatan siapakah yang lebih baik untuk kepentingan umat Islam di negara ini, bukan? Majulah semaju Amerika sekali pun, kalau tiada ruh Islam di jiwa, tidak guna juga, bukan? – AmirHamzah/Utaranews.com

ep2p-2