Kak Wan yakin Selangor akan kekal milik PR sampai bila-bila..

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyuarakan keyakinan Selangor akan terus menjadi milik Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti walupun terdapat dakwaan Barisan Nasional (BN) berupaya merampas kembali negeri berkenaan.

Wan Azizah menegaskan rakyat di Selangor masih menaruh kepercayaan terhadap kepimpinan PR meskipun wujud beberapa krisis melibatkan pemimpin DAP, PAS serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini.

Beliau melihat perbezaan pendapat diantara ketiga-tiga pemimpin terbabit adalah satu perkara biasa dan ia tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada PR pada pilihan raya akan datang.

‎”Sekarang masih boleh dibincangkan sebab kita rasa bahawa kerajaan Selangor kekal sebab apabila kita ada kelainan (pendapat) sedikit tetapi berpegang kepada prinsip bahawa kita masih kerajaan yang memerintah di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di lobi Parlimen hari ini.

Dalam satu laporan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti berkenaan berkemungkinan akan menarik diri daripada terus bekerjasama dalam PR kerana kecewa dengan sikap pemimpin pakatan membantah perlaksanaan hudud di Kelantan.

Kenyataan tersebut telah mencetuskan persoalan mengenai kekuatan PR di Selangor memandang parti berkenaan telah menyumbangkan banyak kerusi di sana sehingga pakatan berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Wan Azizah berharap PAS tidak terburu-buru untuk membuat keputusan sedemikian kerana ia akan menjejaskan sokongan rakyat kepada parti berkenaan pada PRU14 nanti.

“Kita sekarang dalam tempoh bertenang. Kita akan melihat sebagai (tempoh) menyejukkan suasana sekarang untuk ketiga-tiga parti,” katanya lagi.

Pada PRU13 lalu Pas dan DAP masing-masing memiliki 15 kerusi manakala PKR ada 13, tidak termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid yang kini wakil rakyat Bebas. –UtaraNews.com

ep2p-5small