Google Malaysia Melancarkan Project Footprint – Akan Melawat Ke Premis Perniagaan Bagi Menyenaraikan Mereka

Salah satu perkara yang kerap dicari oleh pengguna di laman carian Google adalah produk dan perkhidmatan serta perniagaan berhampiran. Namun kadangkala, terdapat perniagaan yang tidak tersenarai di laman carian Google, dan melalui Project Footprint yang diumumkan Google Malaysia hari ini, mereka akan mempunyai pasukan yang akan hadir ke premis perniagaan bagi menyenaraikan mereka di pangkalan data Google.

Masalah yang kebiasaannya dihadapi oleh pemilik perniagaan adalah bagi memasukkan data mereka di ruang maya bukan sekadar di enjin carian Google, malah di halaman direktori perniagaan yang lain seperti Facebook Pages. Google Malaysia dalam menyelesaikan masalah ini akan mempunyai pasukan mereka yang akan hadir ke setiap premis dan akan meminta maklumat mengenai perniagaan tersebut sekiranya memperoleh kebenaran dari pemilik perniagaan tersebut.

screenshot_389

Antara maklumat yang akan dikumpulkan termasuklah nama, alamat, nombor telefon dan waktu operasi serta lokasi perniagaan. Gambar di hadapan dan di dalam premis turut akan dirakamkan dan maklumat sebegini akan dikemaskini di pangkalan data Google selepas beberapa hari. Data-data ini juga akan mewujudkan perniagaan tersebut di Google Maps, Google My Business, Google Search dan Google+ dan kesemua proses ini disediakan secara percuma. Pasukan mereka juga turut akan memberikan maklumat mengenai aplikasi Google My Business, membolehkan pemilik perniagaan untuk mengetahui analisis berkenaan premis mereka serta mengemaskini maklumat perniagaan mereka.

Pasukan Google Footprint ini akan memulakan misi pengumpulan maklumat bermula 18 Mei di Pulau Pinang, kemudian di Ipoh dan Johor Bahru. Mereka menyasarkan untuk meliputi seluruh Malaysia secara berperingkat, dengan Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun ini dan Sabah Sarawak pada tahun hadapan. Pemilik perniagaan juga boleh memasukkan maklumat berkenaan perniagaan mereka dengan sendiri melalui portal Google My Business.

ep2p-5small