Azraai Buru Trofi Ke-9 Sebagai Jurulatih, Amutu Taruhan Utama Kelantan

KUALA LUMPUR: Pengendali pasukan Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah berpeluang mencipta rekod kejuaraan peribadi yang kesembilan sepanjang 24 tahun kariernya sebagai jurulatih menjelang perlawanan akhir Piala FA bertemu Lions XII di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Azraai yang memulakan karienya sebagai jurulatih bersama skuad Piala Presiden Kedah pada tahun 1991 berjaya membawa pasukan Pantai Timur yang dikenali  ‘The Red Warriors’ ke pentas akhir Piala FA selepas mengambil alih daripada George Boateng pada 24 Mac lalu.

“Ini merupakan aksi final yang kesepuluh saya sebagai jurulatih dan hanya sekali gagal menjulang juara ketika tahun 2004 bersama Kedah.

“Dan jika menang, secara peribadi ia juga trofi kesembilan saya keseluruhan termasuk juara treble musim 2006,  juara Piala Malaysia dan Liga Super  (2007) ketika bersama Kedah, manakala juara Piala Malaysia dengan Negeri Sembilan (2011).

“Kalau jadi juara tahun ini, impian saya akan jadi kenyataan,” jelas jurulatih kelahiran Kedah berusia 62 tahun ini.

Menurut Azraai, perlawanan akhir ini juga bakal mencatat rekod kemenangan ketiga pasukan Kelantan di pentas akhir Piala FA selepas bergelar juara 2012 dan 2013.

“Walaupun pasukan Lions dianggap sebagai ‘underdog’, mereka sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri dari segi kecergasan.

“Mungkin mereka skuad pembangunan, tetapi harus ingat rata-rata anak buah Fandi Ahmad itu adalah pemain-pemain muda Singapura.

“Memang rekod perlawanan sebelum ini berpihak kepada kita, tetapi ia telah berlalu dan kami tidak boleh berpuas hati dengan rekod kemenangan itu.

“Kami akan bekerja keras cuba mencari kemenangan dalam tempoh 90 minit dan cuba mengelak bermain dalam aksi penalti,” katanya.

Kelantan mara ke pentas akhir buat kali kelima selepas 2009,2011,2012 dan 2013 dengan menewaskan Pahang secara agregat 3-2.

Sementara itu, Amutu ketika dihubungi berkata beliau bertekad untuk menjaringkan seberapa banyak gol yang mungkin dan mahu menjulang Piala FA bersama TRW tahun ini.

“Saya mahu menjaringkan banyak gol untuk Kelantan jika saya diturunkan esok, saya mahu menampilkan aksi terbaik kepada penyokong,” katanya.

Aksi garang Amutu menyerlah sejak penampilan sulungnya dalam saingan Liga Super ketika Kelantan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 18 April lepas, apabila beliau meledak gol pertama buat kelab barunya itu.

Sekali gus, gerakan lincah dan tendangan kencangnya membuka mata penganalisis serta peminat bola sepak di Malaysia kerana nyata pemain berkenaan merupakan seorang penyerang yang cukup berbisa.

Dua jaringan Amutu yang merupakan pemain bawah 23 tahun Nigeria pada minit ke-75 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Pahang pada 16 Mei lepas, membolehkan Kelantan mara ke pentas final buat kali kelima dengan agregat 3-2.

Nyata, pelaburan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang setiap tahun bergelut mencari dana, berbaloi apabila Amutu mula memberi pulangan kepada TRW selepas mencipta beberapa kemenangan kepada pasukan itu.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa pada satu sidang media berkata KAFA tidak mampu membelanjakan lebih daripada USD200,000 setahun ke atas pemain ataupun jurulatih import yang diambil untuk berkhidmat dengan TRW.

TRW sebelum in dilaporkan terpaksa melepaskan beberapa pemain importnya yang mahukan kenaikan gaji ketika Kelantan terumbang-ambing dengan jumlah tajaan yang tidak menentu pada setiap tahun.

Legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar, 69, pernah dilaporkan berkata bahawa Amutu merupakan seorang pemain yang bijak dalam merencanakan serangan dan berbahaya di hadapan gol.

Turut berkongsi harapan sama ialah pengurus Kelantan Azman Ibrahim yang berharap Amutu yang beraksi di jentera serangan, dapat beraksi pada perlawanan akhir itu memandangkan pemain itu merupakan senjata utama TRW.

Sekiranya Amutu cergas untuk beraksi, jurulatih Lions XII Fandi Ahmad sudah pasti mempunyai strategi untuk mengekang pemain lincah Nigeria itu.

ep2p-5small