Hampir setahun di FAM, Schmid gagal bawa pembaharuan

SchmidKuala Lumpur: “Hampir setahun di FAM, apa yang disumbangkannya?” Persoalan itu ditujukan kepada Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Fritz Schmid yang dilihat tidak memberikan banyak impak kepada pembangunan bola sepak negara sejak dilantik pada Mei tahun lalu.

, 56, bekas penolong jurulatih Austria yang mengikat kontrak tiga tahun diberikan tugas untuk membantu pembentukan skuad kebangsaan serta pembangunan bola sepak remaja khususnya Harimau Muda.
Beliau yang juga memiliki sijil kejurulatihan profesional Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) turut bertanggungjawab untuk memantau prestasi jurulatih bernaung di bawah FAM.

Namun selepas hampir setahun kehadirannya di Wisma FAM, Kelana Jaya tidak banyak peningkatan dapat dilihat dengan ranking skuad Harimau Malaya terus merudum ke tangga-164 dunia manakala program Harimau Muda semakin tidak tersusun.

“Apa hala tuju skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda sehingga ada pihak mendesak program pemain muda ini dimansuhkan.

“Di mana rancangan jangka masa pendek atau panjang untuk skuad kebangsaan? Apa yang berlaku sekarang ranking pasukan kebangsaan terus jatuh dan kedudukan program Harimau Muda pula mula menjadi perdebatan ramai pihak.
“Kenapa skuad Harimau Muda C terpaksa beraksi dalam Liga FAM dalam tempoh singkat untuk mengejar program di Slovakia?

“Sepatutnya sebagai pengarah teknikal, beliau boleh menasihati Presiden FAM (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dan berbincang dengan Dollah Salleh (jurulatih kebangsaan) dan Datuk Ong Kim Swee (jurulatih Harimau Muda A) mengenai perancangan terbaik bola sepak negara. Tapi apa yang berlaku sebaliknya,” kata sumber dalaman FAM kepada Arena Metro semalam.

Dalam laporan media sebelum ini, Tengku Abdullah pernah memberikan peringatan kepada Schmid bahawa beliau tidak teragak-agak untuk menamatkan kontraknya jika prestasinya tidak memuaskan hati badan induk bola sepak itu.
Sumber itu berkata, FAM perlu bertegas dalam perkara ini kerana Schmid juga perlu bertanggungjawab ke atas prestasi skuad negara dan tidak hanya meletakkan kesalahan kepada jurulatih semata-mata.

“Bila pasukan muda dan senior kalah, yang menjadi mangsa jurulatih tempatan sedangkan pengarah teknikal tidak banyak membantu. Saya harap beliau boleh memainkan peranan penting kepada pasukan dan bukannya lepas tangan begitu saja,” katanya. – HMetro

ep2p-5small