FAM bincang hak penyiaran bulan depan

Datuk-Hamidin-Mohd-Amin (1)PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal me­ngadakan perbincangan dengan semua pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia menerusi sesi taklimat berhubung penswastaan liga pada 6 dan 7 Mei ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, semua wakil yang hadir diberikan hak untuk melontarkan panda­ngan dan bersuara berkaitan isu yang diutarakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelmarin.

Tambahnya, beliau yakin menerusi taklimat penswastaan liga itu, persoalan melibatkan hak penyiaran perlawanan dapat diselesaikan.

“Pada 6 dan 7 Mei depan, semua pasukan akan diberikan peluang untuk menyatakan pandangan atau pendapat mereka ketika sesi taklimat berkaitan konsep baharu yang akan kami laksanakan.

“Semua pihak bebas berkongsi pendapat serta memberikan penjelasan berhubung penswastaan liga yang akan bermula pada 2016,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, di sini semalam.

Kelmarin, Tunku Ismail menggesa presiden persatuan bola sepak negeri dan kelab agar tidak bersikap pengecut, sebaliknya berani menyuarakan soal pembahagian honorarium penyiaran televisyen.

Tunku Ismail menegaskan bahawa penyaluran agihan honorarium penyiaran televisyen di negara lain adalah sebanyak 70 peratus kepada pasukan atau kelab yang bertanding manakala 30 peratus kepada badan induk bola sepak, namun FAM pula berbuat sebaliknya.

Dalam masa sama, Hamidin berkata, biarpun sehingga kini pihaknya masih belum mengumumkan hak penyiaran dan penaja utama sepertimana yang termaktub dalam perjanjian bersama MP & Silva, namun keadaan tersebut tidak menyusutkan dana FAM.

“Kami telah memuktamadkan perjanjian dengan penaja dan kami mungkin akan mendapat jumlah penajaan lebih kurang sama seperti tahun lalu. Apapun, kami akan umumkan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas cadangan Tunku Ismail untuk mengadakan perlawanan Liga Malaysia pada bulan Ramadan, Hamidin berkata, perkara tersebut telah pun dilaksanakan oleh FAM terlebih dahulu.

ep2p-5small