Biar FAM tentukan masa depan saya – Razip

Match Report: Malaysia U23 0-1 Japan U23SHAH ALAM: Jurulatih skuad B-22 negara, Razip Ismail menyerahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menentukan masa depannya selepas skuad kendaliannya itu gagal layak ke pusingan akhir Kejuaraan Bawah 23 AFC 2016.

Skuad Harimau Muda itu tewas 1-0 kepada Jepun pada perlawanan terakhir di Stadium Shah Alam, malam ini untuk sekadar menamatkan saingan Kumpulan I di tangga ketiga dengan tiga mata – di belakang Jepun (9 mata) dan Vietnam (6 mata), manakala Macau tercorot tanpa sebarang mata.

Razip yang akur dengan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan FAM terhadapnya iaitu untuk memastikan skuad B-22 negara layak ke pusingan akhir di Qatar kini menyerahkan kepada badan induk itu untuk menentukan hala tujunya.

“Mengenai KPI saya itu, saya serahkan kepada FAM. Tapi bagi saya, kami menghadapi saingan kelayakan yang cukup sukar di sini.

“Jepun, Vietnam dan Malaysia, kesemuanya mahu layak. Bagi saya, kesilapan kita ialah tewas kepada Vietnam pada perlawanan pertama. Itu titik penentunya. Jika kita menang, pasti cerita berbeza.

“Tapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan dan mengenai KPI, saya tak mahu komen apa-apa, saya serahkan kepada FAM menentukan masa depan saya,” kata Razip pada sidang media selepas perlawanan, malam ini.

Selepas tewas 2-1 kepada Vietnam pada aksi sulung, Jumaat lalu, skuad Razip berjaya menewaskan Macau 2-0, Ahad lalu dan mereka perlu mencipta kejutan menewaskan Jepun, malam ini andai mahu mengumpul enam mata dan mencerahkan peluang layak ke pusingan akhir.

Namun Razip dilihat menggunakan permainan selamat iaitu lebih bertahan dengan membariskan lima pemain pertahanan supaya gawang negara dikawal Farhan Abu Bakar tidak dibolosi jaringan besar.

“Saya rasa gembira dengan keputusan walaupun kami tewas 1-0. Pemain sudah beri segalanya dan saya puji sikap mereka dari awal hingga penghujung perlawanan ini.

“Saya tahu memang sukar untuk berdepan pasukan seperti Jepun ini. Tapi kita berjaya kawal gawang kita daripada dibolosi gol lebih banyak,” jelas Razip.

ep2p-5small