10 pemain utama bakal tinggalkan Liverpool

Liverpool vs Aston VillaLIVERPOOL – Liverpool mungkin berdepan tugas sukar untuk membina semula pasukan musim depan apabila media Britain melaporkan, sekurang-kurangnya 10 pemain utama dijangka meninggalkan Anfield sebaik saja musim ini berakhir.

Penyerang sensasi, Raheem Sterling yang kini dipancing juara Liga Itali, Juventus dengan nilai perpindahan 50 juta pound (RM275 juta) antara yang disebut bakal mengangkat kaki, selain Martin Skrtel, Mario Balotelli, Glen Johnson, Kolo Toure, Rickie Lambert, Javi Manquillo, Fabio Borini serta penjaga gol, Brad Jones.

Kapten, Steven Gerrard sudah lebih awal mengumumkan akan meninggalkan Liverpool untuk menyertai kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Los Angeles Galaxy.

Liverpool terpaksa berbelanja besar selepas Piala Dunia tahun lalu ekoran pemergian bintang penyerang, Luis Suarez yang berpindah ke Barcelona, tetapi kemasukan pemain seperti Balotelli dan Lambert gagal memberi impak.

Johnson dan Toure akan bebas daripada sebarang ikatan setelah kontrak mereka tamat pada peng­hujung musim ini, sementara Manquillo yang merupakan pemain pinjaman tidak ditawarkan kontrak secara tetap.

Balotelli, Lambert dan Borini dikhabarkan mahu meninggalkan kelab, manakala Jones difahamkan khidmatnya tidak diperlukan lagi.

Skrtel masih belum menandatangani perjanjian baharu dan mungkin akan dijual kepada kelab Jerman, Wolfsburg, tetapi bek tengah Slovakia itu menafikan bahawa dia akan meninggalkan Anfield musim depan.

“Saya tidak akan pergi ke mana-mana, bukan ke Wolfsburg atau Nap­les (Napoli).

“Kami sedang berunding me­ngenai kontrak baharu dan butirannya akan diketahui dalam masa terdekat,” kata Skrtel yang dipetik dalam Liverpoolecho.

Sementara itu, ejen pemain berkenaan, Karol Csonto, mengesahkan, mereka tidak pernah dihubungi oleh wakil Wolfsburg dan dakwaan pemain berusia 30 tahun itu akan berpindah ke Jerman sama sekali tidak benar.

Ketika Reds dalam kedukaan selepas tersingkir daripada saingan Piala FA, berita bahawa Jordan Henderson telah memberi persetujuan untuk menandatangani kontrak baharu selama lima tahun yang bernilai melebihi 25 juta pound (RM135 juta) memberi sedikit keceriaan.

Pemain tengah England itu dijangka mengikat kontrak sehingga 2020, sekali gus menamatkan rundingan yang berlangsung sejak beberapa bulan lalu dengan kelab Anfield itu.

Henderson menjadi pemain terbaharu Liverpool yang menandatangani kontrak baharu, selepas Da­niel Sturridge dan Philipe Coutinho.

Dia dijangka meraih pendapatan 100,000 pound (RM541,817) seminggu yang turut disertakan dengan bonus, bagi menggantikan perjanjian lama yang tamat pada musim panas 2016.

Liverpool juga dijangka akan mengikat perjanjian jangka panjang bersama pemain muda, Jordon Ibe. – AGENSI

ep2p-2