Wan Azizah sanggup derhaka pada Anwar demi Guan Eng..

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertindak mempertahankan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng walaupun beliau tidak membenarkan ahli DAP di sana menyertai himpunan #Kitalawan yang diadakan di kompleks beli belah, Sogo semalam.

Walaupun perbuatan Guan Eng yang menghalang pemimpin DAP untuk menyertai demo tersebut dilihat seperti menyisihkan Anwar, Wan Azizah rela ‘derhaka’ pada suaminya sendiri dengan menyokong Guan Eng.

Wan Azizah berkata, Guan Eng telah memaklumkan kepada dirinya terhadap ketidakhadiran pemimpin-pemimpin DAP Pulau Pinang disebabkan terpaksa menghadiri program yang telah diatur terlebih dahulu oleh kerajaan negeri sebelum himpunan ini dirancang.

Beliau melihat perkara tersebut telah menghalang Guan Eng dan pemimpin-pemimpin DAP di sana menghadiri himpunan dianjurkan bagi menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Dia kata bahawa dia telah mengatur program beri bantuan kepada warga emas, itu sahaja. Sesiapa yang ‘free’ boleh datang.

“Mana-mana yang terikat dengan program itu terpaksalah memberikan (menyampaikan) sumbangan kepada warga emas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Wan Azizah menafikan dakwaan yang mengatakan Guan Eng telah mengeluarkan arahan kepada seluruh ahli DAP untuk tidak menyertai himpunan tersebut.

Menurut beliau, Guan Eng tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian dan semua ahli DAP digalakkan menyertai himpunan yang diadakan semalam sekiranya mempunyai kelapangan bagi menyokong Anwar.

“Saya mendapat panggilan telefon daripada Lim Guan Eng. Itu tidak (seperti) apa yang dikatakan (Guan Eng larang pemimpin DAP sertai himpunan),” katanya lagi. –UtaraNews.com/Mohd Shahir Shukor

ep2p-2