Visi Aman Makmur Kedah dapat pujian ramai.

Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) USM, Dr Musa Ali, memuji Kerajaan Negeri Kedah kerana mempunyai visi, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan pelan strategik yang sangat baik.

Namun beliau menegaskan bahawa semua kelebihan-kelebihan itu perlu disinergi dan saling bekerjasama dari sudut perlaksanaan untuk mencapai segala yang telah digariskan dalam pelan transformasi di negeri Jelapang Padi itu.

“Kita mempunyai visi yang baik dan murni, Kedah Aman Makmur, kita mempunyai barisan kepimpinan yang baik, kita mempunyai pelan strategik yang sangat baik.

“Tapi pada saya ialah kita perlunya bersinergi di antara agensi, maknanya agensi itu perlu bekerjasama untuk memungkinkan apa yang telah digariskan dalam pelan transformasi itu dapat dilaksanakan dalam jangka masa waktu yang ditetapkan,” katanya ketika ditemubual Utaranews.com, semalam.

Kata Dr Musa, kajian beliau sebelum ini mendapati kebanyakkan agensi dan jabatan kerajaan mempunyai visi dan pelan strategik masing-masing, namun tidak ada tindakan susulan untuk melaksanakan secara realiti, berkesan dan komprehensif.

Beliau yang juga merupakan anak Kedah itu menjelaskan bahawa adalah sangat penting untuk semua agensi di pelbagai peringkat sama ada di peringkat kerajaan pusat, kerajaan negeri atau kerajaan tempatan untuk bekerjasama selari dengan kaedah perlaksanaan.

“Maka inisiatif yang kita lakukan ini adalah untuk memungkinkan usaha-usaha untuk menterjemahkan visi yang besar, untuk membangunkan negara ini mencapai ke satu tahap yang lebih baik dengan menterjemahkan hala tuju besar ini dalam bentuk tindakan atau pecahan-pecahan-molekul yang lebih kecil supaya ia dapat dikongsi, diselaraskan dan disejajarkan tindakan di peringkat individu, sama ada di peringkat kakitangan kerajaan, ahli-ahli politik, dan juga masyarakat,” jelasnya.

Dr Musa turut mendedahkan bahawa segala idea berkenaan kerangka strategik yang dibentang dalam Program Pembangunan Kerangka Strategik 3P Kerajaan Negeri Kedah selama dua hari itu adalah hasil dari pengalamannya bekerja dengan pelbagai agensi di luar negara sebelum ini.

Beliau kemudiannya telah memikirkan satu langkah untuk mempermudahkan perlaksanaan pelan strategik berkenaan supaya ia senang difahami, mudah dilaksana serta sesuai dengan budaya struktur kerja di agensi dan jabatan-jabatan kerajaan di Malaysia.

“Dalam konteks inilah kita cuba merungkai, tidak menggunakan istilah atau terma yang agak sukar difahami, tetapi menggunakan istilah-istilah biasa tapi menjuruskan kepada pendekatan keberhasilan atau “outcome base”,” jelasnya lagi.

Program Pembangunan Kerangka Strategik 3P Kerajaan Negeri Kedah buat julung-julung kalinya dianjurkan Universiti Sains Malaysia secara khas untuk Kerajaan Negeri Kedah selama dua hari di sini dan berakhir lewat petang semalam.

Program berkenaan dibentang secara khusus bagi merangka kerangka strategik bagi tiga portfolio yang dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan di negeri Kedah.

Turut sama menghadiri program berkenaan ialah wakil-wakil agensi dan jabatan kerajaan seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Selain itu, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (KKLW), Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri Kedah dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut menyertai program berkenaan.

Hasil maklum balas yang diterima dari para peserta program berkenaan sangat positif di mana mereka dapat memahami dan menguasai kerangka strategik tersebut dengan mudah untuk dilaksanakan secara menyeluruh dengan kerjasama erat dari kerajaan negeri Kedah. –Utaranews.com

ep2p-2