KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya nyata bukan lawan Oman selepas diaibkan dengan kekalahan 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ di Stadium Al-Seeb, Oman, pada Khamis malam.

Pasukan tuan rumah yang mendapat jolokan Al-Ahmar (The Reds) nyata bukan tandingan skuad bimbingan Dollah Salleh apabila mendominasi perlawanan serta melakukan serangan bertali arus ke kubu skuad negara.

Hasilnya, Yaqoob Abdul-Karim Salim Al-Qasmi membuka tirai jaringan seawal minit ke-15 selepas bijak memanfaatkan pergelutan dalam kotak penalti sebelum mudah menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Oman, yang dilatih oleh jurulatih dari Perancis, Paul Le Guen, terus menggandakan asakan untuk memburu jaringan dan hasilnya, Abdul Aziz Humaid Mubarak Al-Muqbali meledak gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-42 dan keputusan itu kekal sehingga babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, Oman berjaya menambah gol ketiga menerusi Qasim Said Sangoor pada minit ke-46 selepas beliau mudah menolak masuk hantaran silang rakan sepasukan sebelum Abdul Aziz meledak gol keempat, selang empat minit kemudian.

Yaqoob Abdul-Karim menambah derita Malaysia menerusi gol kelima pada minit ke-66 sebelum Mohsin Johar Al-Khaldi memastikan kemenangan bergaya Oman dengan gol terakhir pada minit ke-88 menerusi sepakan penalti.