Enggan dianggap sebagai wira itu kenyataan bintang Johor Darul Takzim (JDT) Safiq Rahim apabila dua gol jaringannya bantu skuad Harimau Selatan lakar kemenangan keatas Sarawak di Larkin bagi saingan Liga Super pada Sabtu.

Kapten JDT itu menyatakan kekecewaan tersingkir dari saingan Piala FA menjadi pengajaran buat setiap pemain untuk tidak mengulangi kesilapan sama.

Safiq mempamerkan aksi mantap di samping Hariss Harun dan Junior Eldstal di bahagian tengah bagi memastikan pengawalan bola berpihak kepada JDT.

Walaupun turun tanpa khidmat penyerang import Luciano Figueroa yang dilanda kecederaan, Safiq membuktikan tugas menjaringkan gol bukan sahaja terletak di bahu pemain penyerang.

Kemenangan tersebut bakal menjadi pemangkin untuk anak buah Bojan Hodak apabila berdepan Balestier Khalsa bagi saingan Piala AFC pada Selasa.

Jurulatih kelahiran Croatia itu mengakui pemainnya tidak mampu menyaingi permainan fizikal yang diterapkan Sarawak di awal babak pertama namun memuji anak buahnya yang kembali bangkit untuk memburu gol.