Umno Terengganu akan buat Hudud selepas Kelantan.. Tahniah!!!

Menteri Besar Terengganu, Datuk Razif Abdul Rahman hari ini memberitahu bahawa Terengganu sedia mengikut jejak langkah Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud dinegeri itu.

Razif berkata Terengganu akan melaksanakan hukum ini kelak tetapi ianya akan diperhalusi dan dilihat bagaimana hukum ini dilaksanakan di negeri Kelantan.

Razif yang mengulas lebih lanjut mengenai hukum hudud ini berkata, pelaksanaan ini tidak merumitkan tetapi perlu difahami semua masyarakat sebelum dilaksanakan.

“Biar masyarakat faham dahulu dan kita tidak menimbulkan kontroversinya, insyAllah. Penerimaan bukan Islam juga perlu diberikan perhatian supaya pelaksanaan dapat dibuat dengan lancar,” kata Razif

Razif berkata, bagi menjelaskan apa erti hudud ini, beliau telah mengarahkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu supaya mendidik dan menyampaikan dakwah sehingga rakyat faham makna hudud.

Katanya, jika rakyat sudah faham dan bersedia, baru Terengganu dapat melaksanakannya tanpa sebarang masalah.

“Sebab itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diminta melaksanakan dari segi konsep tarbiyah dan mendidik, iaitu memberi nasihat terlebih dahulu sehingga rakyat faham.

“Begitu juga dengan pelaksanaan hukum di Terengganu. Apa yang perlu dilakukan ialah secara berhemah dan berperingkat supaya rakyat lebih faham kerana jika tidak, ia akan menimbulkan lebih banyak kontroversi serta tidak puas hati.

“Jika masyarakat faham dan bersedia, Terengganu tiada masalah melaksanakannya,” katanya. -Alip Danial/Utaranews.com-

ep2p-2