Suami Umie Aida tak mengaku sudah Muflis..

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mempersoalkan tindakan UMNO melucutkan jawatannya sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan atas alasan beliau diistihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Mei tahun lalu.

Khairuddin atau Datuk K menyifat tindakan UMNO melucutkan jawatan sebagai Naib Ketua Bahagian Batu Kawab telah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh parti.

Beliau berkata, walaupun satu petisyen telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah namun dirinya masih belum diistihar muflis memandangkan kes berkenaan masih dalam proses penyelesaian.

Ujar beliau, tindakan UMNO yang terburu-buru mengeluarkan surat pelucutan jawatan tersebut tanpa membenarkan dirinya membela diri adalah satu tindakan tidak wajar.

“Saya tidak terkejut langsung dengan berita jawatan dilucutkan oleh Umno disebabkan kes jaminan korporat. Hakikatnya (kes itu) sedang dalam fasa penyelesaian oleh peguam peribadi saya kerana syarikat tersebut telah mula melangsaikan hutang itu.

“Namun, saya hairan dengan sikap Umno yang tidak pernah memanggil saya untuk memberi penjelasan kedudukan sebenar kes tersebut. Umno sebenarnya kena menulis surat tunjuk sebab dan memanggil saya untuk memberi penjelasan terperinci kedudukan terkini saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu laporan sebelum ini, UMNO Pulau Pinang telah mengesahkan jawatan Khairuddin sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan telah dilucutkan melalui satu surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Monsor baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Khairuddin berkata setiap ahli parti akan hilang kelayakkan memegang jawatan didalam parti setelah disahkan status muflis oleh pihak mahkamah.

Namun begitu, apa yang berlaku kepada dirinya tidak seperti didakwa kerana kes beliau masih dalam proses penyelesaian.

Justeru itu, beliau menggesa UMNO memberi penjelasan terhadap tindakan yang telah dikenakan kepada dirinya kerana ia jelas melanggar perlembagaan parti.-UtaraNews.com / Mohd Shahir Shukor

ep2p-2