Pelan Kerangka Strategik 3P Mudahkan Pentabdir Awam Jayakan Transformasi Kedah

Kerangka Pembangunan Strategik 3P Kerajaan Negeri Kedah dijangka bakal menjadi mekanisma penting bagi menjayakan agenda makmal transformasi yang sebelum ini diperkenal oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah menjelaskan bahawa pelan kerangka yang dibentang oleh Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti (PIPPA) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Musa Ali merupakan kunci kepada kaedah memudahkan cara melaksanakan resolusi yang diperoleh dari makmal tersebut.

“Ketika Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengambil alih pentadbiran negeri Kedah, beliau telah memperkenalkan makmal transformasi.

“Resolusi dari makmal transformasi itu insyaAllah akan dijayakan dengan kaedah kerangka pembangunan strategik 3P yang dibentangkan Dr Musa kepada saya dan agensi-agensi kerajaan sebentar tadi,” katanya dalam sidang media yang diadakan di sini, semalam.

“3P” yang dimaksudkan Mohd Tajudin adalah mewakili tiga portfolio yang diketuainya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Omar Osman yang mewakili universiti itu berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan percambahan fikiran khususnya mengenai pentadbiran awam dari sudut akademik dan kaedah perlaksanaan.

Katanya, dengan maklumat yang tepat dari ketua-ketua jabatan dan agensi Kerajaan, ia akan dapat membantu pemimpin Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan yang tepat.

Antara agensi kerajaan berkaitan yang hadir menyertai program yang ditaja penuh USM itu ialah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Selain itu, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (KKLW), Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri Kedah dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut menyertai program berkenaan yang berlangsung selama dua hari suntuk.

Mohd Tajudin juga yakin bahawa segala hasil pelan strategik yang diperoleh di program itu bakal memberikan impak yang sangat baik buat rakyat Kedah, khususnya golongan masyarakat luar bandar dan kurang bernasib baik.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerja keras demi memastikan segala matlamat kerajaan negeri, khususnya akujanji pilihanraya yang lalu dapat dijayakan dengan sempurna tidak lama lagi.

“Kita dah buat lebih dari separuh dari akujanji pilihanraya yang lalu, insyaAllah tidak lama lagi ia akan dapat disempurnakan. Sama-sama kita doakan,” kata Mohd Tajudin. -Utaranews.com

ep2p-5small