PAS tak anggap PasMa sebagai cabaran untuk parti Islam.

Majlis Syura Ulama Pas menegaskan bahawa pertubuhan NGO, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) harus dibubarkan sekiranya pemimpin serta ahli pertubuhan itu masih berhasrat untuk diterima oleh Pas untuk bersama-sama menangani kemelut dalam pakatan pembangkang.

Setiausahanya, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, pendirian Majlis Syura Ulama Pas tetap tidak berubah dengan melarang seluruh ahli Pas menyertai Pasma serta sebarang program anjuran pertubuhan itu.

“Kita sudah buat keputusan, kita (Pas) dengan cara kita dan Pasma dengan cara mereka. Kalau mereka nak juga sertai kita (Pas), mereka kena bubarkan Pasma dan duduk bersama kita dalam Pas, selesai masalah dan bukan susah pun.”

“Tapi kalau mereka tetap sayangkan Pasma, mereka tak payahlah duduk bersama-sama kita (Pas) kerana kita sudah buat keputusan iaitu semua ahli Pas tidak dibenarkan sertai Pasma atau sebarang program anjurannya, itu sudah jelas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.

Nik Muhammad Zawawi berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Pasma yang masih meminta Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Pasma bagi menangani kemelut dalam pakatan pembangkang.

Memetik kenyataan Pengerusi Pasma Perak, Mohd. Saad Ismail semalam yang menyatakan bahawa Pas Pusat perlu menegah pemimpinnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sedangkan penubuhan Pasma adalah untuk membantu memperkuatkan pakatan pembangkang, bukan mencabar Pas.

Dalam pada itu, Nik Muhammad Zawawi menjelaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana ahli Pas yang tidak menghormati keputusan kepemimpinan tertinggi Pas berhubung pendirian parti terhadap Pasma termasuk pemecatan keahlian.

Bagaimanapun, katanya, kewujudan Pasma itu disifatkan tidak mendatangkan bahaya kepada Pas.

“Kita tak pernah anggap Pasma boleh membahayakan Pas. Pada kita ini perkara biasa sahaja, ada atau tidak (Pasma), semua sama saja dan Majlis Syura Ulama Pas tak anggap Pasma boleh runtuhkan jemaah dalam Pas.

“Tapi saya nak tegaskan sekali lagi bahawa Pas hanya boleh terima individu sahaja, kalau pertubuhan seperti Pasma, kita tak boleh terima,” jelasnya.

Pasma ditubuhkan ketika pergeseran yang jelas dalam PR khususnya isu MB Selangor di mana jelas perbezaan pendapat antara Pas, DAP dan PKR. – AzlinHussain/UtaraNews.com

ep2p-5small