Menderita sebab air punya pasal.. Teruk betulll!!!!

Tindakan terburu-buru Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali membatalkan perjanjian penstrukturan air dengan Kerajaan Persekutuan yang telah ditandatangani pada 12 September tahun lepas akan memberi kesan sangat buruk kepada penduduk di negeri berkenaan.

Memetik laporan sebelum ini, Mohamed Azmin telah membuat satu keputusan mengejut untuk membatalkan perjanjian tersebut disebabkan kecewa dengan Kerajaan Persekutuan kerana tidak mematuhi syarat utama yang telah dipersetujui dalam membuat penstrukturan air di sana.

Mengulas mengenai tindakan Mohamed Azmin,  Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos menyifatkan sikap terburu-buru Menteri Besar Selangor akan mengakibatkan penduduk di sana bakal menderita kerana kekurangan air.

Jamal berkata, sebagai seorang Menteri Besar, beliau perlu memikirkan kesan yang akan berlaku kepada penduduk sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau turut mempersoalkan alasan yang diberikan Mohamed Azmin berhubung kegagalan Kerajaan Persekutuan menjadi punca utama perjanjian tersebut tidak akan diteruskan.

Jelasnya lagi, Kerajaan Persekutuan telah membina loji air sepertimana termaktub  dalam syarat perjanjian tetapi ia masih dalam proses pembinaan dan hampir siap.

“Undang-undang yang dibuat adalah undang-undang manusia, banyak lagi langkah lain yang boleh diguna pakai.

“Buatlah keputusan dengan memikirkan nasib rakyat terutama yang tinggal di flat yang terpaksa mengangkut air. Contoh dapat dilihat semasa krisis air tahun lalu.

“Kerajaan persekutuan buat loji air dan hampir 20 peratus akan siap. Azmin perlu rasional  selesaikan isu air bukan menuding jari kepada pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu laporan baru-baru ini, Mohamed Azmin telah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk campur tangan terhadap isu tersebut.

Mohamed Azmin berkata, beliau mahu Najib mengadakan satu perbincangan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Maximus Ongkili bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Saya pasti itu adalah jalan terakhir, saya yakin kami boleh duduk dan berbincang. Saya sudah suarakan kebimbangan bagi pihak kerajaan Selangor kepada  perdana menteri. Saya jumpa beliau (Najib) pagi tadi di mesyuarat Majlis Raja-raja.

“Jadi, perdana menteri memberi jaminan kepada saya bahawa beliau akan berbincang dengan Menteri Kettha (Ongkili) dan saya berharap kementerian dan kerajaan negeri dapat duduk semula minggu hadapan untuk memuktamadkan (perjanjian penstrukturan semula bekalan air),” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini. – UtaraNews.com/ Mohd Shahir Shukor

ep2p-2